My Add

Monday, 6 January 2014

Pas contohi perangai buruk DAP

KOTA BHARU, AHAD, 05 Januari, 2013: Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah diselar kerana mengeluarkan kenyataan sinis bahawa Pas melayan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri ini sama sebagaimana layanan DAP terhadap Pas di Pulau Pinang.

Pengarah Latihan dan Komunikasi PKR negeri, Datuk Dr. Wan Suhaimi Wan Daud berkata, kenyataan Timbalan Pesuruhjaya Pas I negeri itu dilihat tidak mencerminkan wajah kepemimpinan ulama sebagaimana yang sering diuar-uarkan parti tersebut.

"Kalau Pas rasa teraniaya di Pulau Pinang berikutan pelbagai isu termasuk wakil tunggalnya tidak dilantik sebagai Exco, kenapa hendak mencontohi tindakan DAP dan menganiaya PKR di Kelantan pula.

"Jika benar tindakan DAP salah, kita sebagai orang Islam buatlah perkara sebaliknya iaitu dengan cara memperbaiki hubungan, tunjukkan contoh yang baik kepada DAP, bukan dengan cara membalas dendam terhadap rakan pakatan. Kalau macam itu apa beza dia dengan mereka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kelmarin, Mohd. Amar menafikan Kerajaan Pas Kelantan meminggirkan PKR, namun mengakui tidak akan memberi sebarang keistimewaan jawatan kepada wakil PKR berikutan kedudukan dan pengaruh parti itu yang tidak menonjol di negeri ini.

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu, PKR hanya mempunyai seorang wakil dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Ahli DUN (ADUN) Guchil, Roslan Puteh.

Pendirian Pas itu menyamai layanan sama yang diterima daripada rakan sekutu pakatan pembangkang di negeri lain termasuk wakil tunggal mereka di Pulau Pinang, Datuk Mohd. Salleh Man (ADUN Permatang Pasir) yang tidak dilantik sebagai Exco kerajaan negeri oleh DAP.

Dalam perkembangan lain, Wan Suhaimi turut menggesa Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob supaya berhenti berdolak-dalik terhadap beberapa perjanjian lisan di hadapan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah dilafazkan beliau sebelum PRU-13.

Menurut beliau, Ahmad seolah-olah 'cakap tidak serupa bikin' kerana hanya tahu berjanji, namun membisu selepas perkara itu ditagih PKR sejurus PRU-13 berakhir.

"Di hadapan Anwar, beliau memberi jaminan akan memenuhi beberapa tuntutan yang dibuat pihak kami terutama menyelesaikan masalah berkaitan jawatan Penyelia DUN Pengkalan Kubur dengan cara melantik ahli PKR.

"Namun janji hanya tinggal janji kerana sehingga sekarang tiada tindakan susulan diambil biarpun kita sudah berapa kali pergi ke pejabatnya. Sampai bila mahu diam dan suruh Timbalan Menteri Besar tolong jawabkan?" katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment