My Add

Monday, 6 January 2014

\Pas Terengganu labelkan Malaysia negara sekular, tiada ciri-ciri Islam
KUALA TERENGGANU, AHAD, 05 Januari, 2013: Badan Perhubungan Pas Terengganu tetap melabelkan Malaysia hanya sebuah negara sekular dan tidak mempunyai ciri-ciri sebagai sebuah negara Islam.

Pesuruhjaya Pas negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, atas alasan itulah, perkataan 'bughah' yang dinyatakan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang dikaitkan dengan Himpunan Guling Kerajaan tempoh hari, tidak wajar dikeluarkan.

"(Malaysia) tiada ciri-ciri sebagai sebuah negara Islam, sebaliknya hanyalah negara sekular. Jadi tak timbul lah isu 'bughah' dan sebagainya," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat kedua proses pengesahan jawatan barisan jawatankuasa baharu Badan Perhubungan Pas negeri di sini hari ini.

Satiful Bahri memberi reaksi terhadap kenyataan Harussani yang menyifatkan pihak yang cuba menjatuhkan kerajaan yang sah dianggap penderhaka kepada negara.

Mufti Perak itu menyebut peserta Himpunan Turun yang pada awalnya didapati mempunyai unsur-unsur subversif dalam menggulingkan kerajaan sebagia pemberontak atau dikenali sebagai 'bughah' (dalam bahasa Arab).

Harussani turut menyarankan agar mereka terbabit ditangkap sambil menegaskan jika ada ciri-ciri Bughah' selayaknya ditumpahkan darahnya di sisi syarak.

Satiful Bahri seterusnya berkata, sebagai seorang mufti, Harussani tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seumpama itu dengan menuduh himpunan pada malam tahun baharu lalu untuk menggulingkan kerajaan.

"Kita amat terkilan dengan tuduhan dan kenyataan beliau (Harussani), jadi kita minta beliau tarik balik apatah lagi kenyataannya turut menghalalkan darah," jelasnya.

Menurutnya, tidak timbul soal menggulingkan kerajaan kerana himpunan itu diadakan bertujuan memberi peluang kepada rakyat meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kenaikan harga barangan.

"Istilah guling sebenarnya tak timbul dan berbangkit, rakyat hadiri himpunan tempoh hari hanya untuk nyatakan rasa tak puas hati dengan kenaikan harga barang," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment