My Add

Wednesday, 15 January 2014

Pemberhentian eksport ikan jejas pendapatan nelayan

DUNGUN, SELASA, 14 Januari, 2014: Persatuan Nelayan Kawasan Dungun (PNKD) meminta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengkaji semula langkah menghentikan pengeksportan ikan keluar negara sepanjang musim tengkujuh ini.

Ahli Lembaga Pengarahnya Wan Yusoff Wan Mohd berkata pada dasarnya langkah kementerian itu adalah baik namun pada hakikatnya tindakan itu memberi kesan kepada punca pendapatan tambahan kepada golongan nelayan.

"Pada saya, saya tidak setuju memberhentikan pengeksportan ikan sepanjang musim tengkujuh ini kerana kadang-kadang nelayan yang ke laut berhempas pulas mencari sedikit rezeki tambahan kepada anak bini menjadi mangsa.

"Ini kerana selain jual kepada tempatan, ikan eksportlah juga memberi kita pendapatan tambahan, orang ramai tahu nak harga murah dan segar tapi tak tahu betapa payahnya nelayan cari rezeki di laut masa tengkujuh ini," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Akhbar semalam melaporkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengarahkan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) memberhentikan eksportikan sepanjang musim tengkujuh bermula bulan lalu hingga Mac depan.

Mengulas lanjut, Wan Yusoff yang bekerja sebagai nelayan dan pemasar ikan berkata pengusaha bot dan nelayan ke laut akan menjadi mangsa kalau tidak mengeksport ikan kerana kos operasi ke laut yang tinggi sekarang.

"Sebagai contoh, saya ada sebuah bot bubu, sekarang kos operasi antara RM2,000 hingga RM3,000 sekali keluar berbanding RM1,500 hingga RM2,000 sebelum ini," katanya.

Walaupun begitu, beliau berkata, pihaknya mencadangkan untuk terus mengeksport beberapa jenis ikan tertentu ke luar negara sambil menjamin bekalan ikan dalam negara masih mencukupi dan membendung kenaikan harga melampau.

Contohnya, beliau berkata kerajaan boleh terus mengeksport ikan kelas A seperti kerapu, ibu kerisi, remong, delah, dikis, ikan barat-barat, tenggiri, bawal manakala ikan yang tidak perlu dieksport adalah selayang, cencaru, kembong, kerisi, selar dan ikan tongkol.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata harga ikan semasa agak tinggi dan keadaan ini akan berterusan sehingga semua bot nelayan keluar apabila cuaca lebih sesuai.

Beliau berkata, harga ikan yang melambung sekarang bukan berpunca daripada orang tengah tetapi adalah berikutan pendaratan yang berkurangan akibat cuaca buruk.- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment