Pengurus Besar PKNS diarah kemuka dokumen
KLANG, AHAD, 19 Januari, 2014: Pengurus Besar dan Setiausaha Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Othman Omar dan Norita Mohd. Sidek diarahkan mengemukakan dokumen sokongan berkaitan isu pengguguran Azmin Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah anak syarikat milik kerajaan negeri itu.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, dokumen sokongan itu perlu dibentangkan oleh Othman dan Norita dalam satu pertemuan dengan kerajaan negeri yang dijadual esok bagi membincangkan mengenai kedudukan Azmin.
"Saya akan beritahu kemudian (mengenai isu kedudukan Azmin dalam PKNS). Saya tidak mahu membuat apa-apa spekulasi berkaitan perkara itu.
"Apa pun esok saya akan tanya mereka termasuk pengurus besar yang menulis surat berkaitan Azmin diberhentikan. Saya juga akan minta penjelasan daripada Othman dan setiausahanya yang menyatakan pandangan beliau iaitu Exco telah memberi kuasa pada dia (PKNS) untuk memberhentikan seorang ahli lembaga pengarah," katanya kepada pemberita selepas mengedarkan buah limau sempena Tahun Baharu Cina di sini hari ini.
Abdul Khalid sebelum ini menyatakan kerajaan negeri tidak mempunyai kaitan dalam isu penamatan Azmin sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS selain menyatakan keputusan itu telah dibuat oleh Othman.
Bagaimanapun, kenyataan Abdul Khalid itu bercanggah dengan kenyataan yang dikeluarkan PKNS menerusi Norita yang menyatakan penamatan Azmin itu dibuat selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) pada 13 November lalu yang disahkan pada 4 Disember.
Malah dalam kenyataan tersebut, Norita menjelaskan, kuasa melantik Ahli Lembaga Pengarah PKNS adalah di tangan MMKN dan bukannya Pengurus Besar selaras dengan klausa 4(1) enakmen penubuhan PKNS.
Abdul Khalid ketika ditanya mengenai keputusannya sama ada akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti itu pada pertengahan tahun ini berkata, perkara itu akan diputuskan oleh pucuk pimpinan PKR.
"Saya tidak mahu membincangkan perkara ini kerana ini adalah sulit dan tidak boleh diperkatakan secara terbuka. Saya tidak mahu ini menimbulkan sebarang spekulasi... peluang sama ada bertanding atau tidak, adalah sama," jelasnya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment