Monday, 20 January 2014

Pengurus Besar, Setiausaha PKNS ditukar
SHAH ALAM, ISNIN, 20 Januari, 2014: Ketika isu penyingkiran Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) belum selesai, timbul satu lagi konflik baharu melibatkan dua pegawai dalam PKNS.

Perkembangan terbaru yang mengejutkan itu ialah Pengurus Besar dan Setiausaha anak syarikat kerajaan negeri itu pula ditukarkan serta-merta ke Ibu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Pengumuman pertukaran Othman Omar dan Norita Mohd. Sidek itu dibuat oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menerusi satu kenyataan rasmi hari ini.

Abdul Khalid berkata, satu surat kuasa telah diberikan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi untuk melaksanakan tindakan pentadbiran terhadap Pengurus Besar dan Setiausaha PKNS itu.

“Surat kuasa ini membolehkan Setiausaha Kerajaan Negeri melakukan siasatan dalaman bagi merungkai persoalan yang melibatkan fakta dan undang-undang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Khalid sebelum ini menyatakan kerajaan negeri tidak mempunyai kaitan dalam isu penamatan Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS selain menyatakan keputusan itu telah dibuat oleh Othman.

Walau bagaimanapun, kenyataan Abdul Khalid itu bercanggah dengan kenyataan dikeluarkan PKNS menerusi Norita iaitu penamatan Azmin dibuat selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri pada 13 November lalu yang disahkan pada 4 Disember.

Dalam kenyataan tersebut juga Norita menjelaskan, kuasa melantik Ahli Lembaga Pengarah PKNS adalah di tangan MMKN dan bukannya Pengurus Besar selaras dengan klausa 4(1) enakmen penubuhan PKNS. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment