Sunday, 19 January 2014

Perbalahan politik Khalid-Azmin

Oleh ZULKIFLI SAINUDDN dan FAZRINAAYU RADUIAN

 Azmin Ali (Kiri) dan Khalid Ibrahim (kanan)
SHAH ALAM, SABTU, 18 Januari, 2014: Perbalahan politik antara Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim semakin ketara apabila kedua-dua pemimpin itu hari ini memberikan reaksi berbeza berhubung isu pengguguran Azmin sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Hari ini, ketika Abdul Khalid menyatakan Kerajaan PKR Selangor akan memanggil Pengurus Besar PKNS, Othman Omar dan Setiausaha PKNS, Norita Mohd. Sidek Isnin ini berhubung isu itu, Azmin pula menyifatkan kenyataan perbadanan tersebut yang menjelaskan siapa yang bertanggungjawab menggugurkan beliau sudah ‘cukup tegas dan jelas’.

Biarpun, Azmin tidak mahu mengulas sama ada tindakan penggugurannya bermotif politik atau tidak namun ia masih belum mampu menutup perbalahan politik yang dikaitkan antara beliau dengan Abdul Khalid.

Difahamkan pengguguran Azmin telah menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan ahli PKR yang menyokong beliau sehingga mereka mendesak Abdul Khalid meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.

Bagaimanapun, dalam usaha yang dilihat mahu ‘cuci tangan’ Abdul Khalid baru-baru ini menyatakan pengguguran Azmin bukan dilakukan kerajaan negeri tetapi oleh Pengurus Besar PKNS.

Namun tindakan beliau dilihat menjerat diri sendiri apabila PKNS melalui Norita mengeluarkan kenyataan menjelaskan penamatan jawatan Azmin adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) pada 13 November tahun lalu yang disahkan pada 4 Disember tahun lalu.

Apabila melihat keadaan semakin kusut berikutan kenyataannya, hari ini Abdul Khalid menegaskan, Othman dan Norita akan dipanggil bagi memberi keterangan mengenai kedudukan Azmin.

Katanya, pengumuman akan dibuat selepas pertemuan tersebut.

"Saya sudah buat pengumuman, kita tidak akan mengulas apa apa sehingga ada perjumpaan dengan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis sesi dialog peneroka projek pembangunan Alam Mutiara di sini hari ini.

Sementara itu, Azmin pula dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Mingguan Malaysia hari ini menyifatkan kenyataan PKNS sudah cukup tegas dan jelas.

Ia sekali gus menguatkan lagi dakwaan yang menyatakan pemecatan beliau itu berunsur politik, terutamanya menjelang pemilihan PKR yang dijadualkan berlangsung pada Mei ini.

Bagaimanapun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa itu enggan mengulas tentang perkara tersebut.

"Saya tiada komen. Kenyataan PKNS sudah cukup tegas dan jelas," katanya.

Seperti yang diketahui umum, Azmin sering mengkritik pentadbiran Abdul Khalid melibatkan beberapa isu tertentu dengan kali terakhir pada 28 November lalu apabila beliau menyelar keputusan kerajaan negeri menaikkan gaji dan elaun anggota pentadbiran Selangor di antara 80 hingga 373 peratus berkuat kuasa Januari 2014, selain menganggapnya itu terlalu tinggi dan perlu ditangguhkan.

Malah sebelum itu Azmin yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Negeri Selangor dilaporkan bertindak melalui kelab itu mengemukakan memorandum kepada Abdul Khalid ekoran tidak berpuas hati dengan pengurangan peruntukan pembangunan oleh kerajaan negeri pada 7 Oktober lalu. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment