Sebutan semula kes Alvin 28 Februari
KUALA LUMPUR, RABU, 08 Januari, 2014: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 28 Februari ini sebutan semula kes pasangan blogger kontroversi, Alvin Tan dan Vivian Lee yang menghadapi tiga tuduhan mempersenda umat Islam dan bulan Ramadan.
Hakim Murtazadi Amran menetapkan tarikh tersebut selepas peguam Wong Kee Them yang mewakili pasangan itu memaklumkan, Mahkamah Rayuan pada Isnin lalu membenarkan penangguhan perbicaraan yang dijadualkan selama tiga hari bermula hari ini.
Pada prosiding hari ini, Alvin dan Vivian hadir ke mahkamah. Pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hafiza Jemali.
Alvin atau nama sebenarnya Tan Jye Yee, 26, dan Vivian atau Lee May Ling, 25, memfailkan rayuan bagi menangguhkan perbicaraan sementara menunggu selesai rayuan mereka untuk membatalkan satu daripada tiga tuduhan tersebut.
Rayuan tersebut berhubung keputusan Mahkamah Tinggi pada 21 November tahun lalu yang menolak permohonan mereka untuk membatalkan pertuduhan mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan atas alasan pertuduhan yang dibuat adalah sah, teratur dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Pertuduhan itu menyebut bahawa Alvin dan Vivian didakwa memuat naik di laman sosial Facebook mereka satu kandungan gambar dan komen bertajuk Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh..wangi, enak, menyelerakan!!!') yang berkemungkinan menyebabkan perasaan permusuhan atas alasan agama dalam kalangan penganut agama berlainan. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment