Saturday, 4 January 2014

SPA isi 100,000 jawatan

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
 
 Mahmood Adam
PUTRAJAYA, JUMAAT, 03 Januari, 2013: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menjangkakan kira-kira 100,000 kekosongan jawatan dalam perkhidmatan awam untuk diisi pada tahun ini.

Pengerusi SPA ,Tan Sri Mahmood Adam berkata, pihaknya menyasarkan pengisian 80,000 penjawat awam memandangkan terdapat 70 peratus kekosongan dalam kumpulan sokongan.

"SPA akan lebih agresif tahun ini dengan melaksanakan agenda transformasi dalam menggalakkan orang ramai menyertai perkhidmatan awam.

"Antara transformasi tersebut adalah pengenalan seminar dan kursus panduan memasuki perkhidmatan awam pada Sabtu pertama setiap bulan secara percuma dengan orang ramai diberikan tip yang betul," katanya dalam sidang akhbar mengenai pencapaian SPA sepanjang tahun 2013 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi SPA, Datuk R.Segarajah; Setiausaha, Datuk Ramli Juhari dan ahli-ahli suruhanjaya.

Dalam pada itu, Mahmood memberitahu, SPA melantik 60,059 penjawat awam pada 2013 dengan memastikan calon bukan sahaja memiliki pakej kelulusan dan kelayakan tetapi berintegriti, produktif dan setia.

Ujarnya, SPA berjaya meningkatkan satu juta permohonan tahun lalu berbanding sebelumnya berikutan pelaksanaan transformasi.

"SPA mencatatkan jumlah permohonan bukan Melayu iaitu Cina seramai 24,931 dan India (39,644) manakala Bumiputera Sabah dan Sarawak 108,119 pada tahun lalu.

"Kita berharap lebih banyak permohonan penyertaan perkhidmatan awam termasuk bukan Melayu agar usaha mentransformasikan negara terlaksana," ujarnya.

Tambah Mahmood, calon-calon boleh boleh mengemukakan pertanyaan kepada SPA mengapa mereka gagal dan memohon perkhidmatan awam sekali lagi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment