Wednesday, 8 January 2014

SPRM tahan ahli perniagaan berpangkat Datuk, rakan

KUALA LUMPUR, RABU, 08 Januari, 2014: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang ahli perniagaan berpangkat Datuk dan rakannya selepas dipercayai terlibat menerima wang rasuah bernilai RM2 juta, malam tadi.

Kedua-dua mereka ditahan bagi membantu siasatan berhubung penerimaan wang tersebut bagi kontrak berkaitan dengan urusan Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan penghantaran 200 buah lori dari sebuah syarikat di China.

Lori-lori berkenaan telah dibeli daripada sebuah syarikat di China bagi kegunaan projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2.

Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Jamidan Abdullah dalam satu kenyataan berkata, individu tersebut juga merupakan Pengarah Urusan sebuah syarikat kejuruteraan.

"Beliau dan rakannya yang berusia lingkungan 50-an ditahan kira-kira pukul 8.30 malam tadi oleh Bahagian Operasi Khas SPRM.

"Kedua-dua individu akan disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.Mereka kini telah direman selama lima hari bermula hari ini," katanya. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment