My Add

Monday, 20 January 2014

Suspek masih di dalam negara

Oleh MASZUREEN HADZMAN

KUALA LUMPUR, AHAD, 19 Januari, 2014: Polis percaya tiga wanita warga asing termasuk seorang budak perempuan yang melarikan sebentuk cincin berlian Yellow Diamond bernilai RM5.2 juta di galeri jualan barang kemas eksklusif di Bukit Bintang di sini, Khamis lalu masih berada di dalam negara.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, pihaknya kini sedang bekerjasama dengan polis antarabangsa (Interpol) untuk mengesan dan mengenal pasti identiti mereka.

Beliau berkata, siasatan menyeluruh juga sedang dijalankan bagi memperoleh maklumat mengenai kejadian itu.

"Kami telah meminta bantuan pihak imigresen mengesan suspek di pintu masuk dan keluar negara.

"Setakat ini tiada maklumat yang kami terima dan kami percaya mereka masih berada di negara ini." katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam kejadian Khamis lalu, cincin itu dilaporkan dicuri oleh sekumpulan warga asing termasuk seorang kanak-kanak perempuan di sebuah galeri jualan barang kemas eksklusif di Bukit Bintang di sini.

Kumpulan yang terdiri daripada seorang lelaki, tiga wanita termasuk seorang yang sedang sarat mengandung serta seorang kanak-kanak perempuan berusia lingkungan 12 tahun dipercayai merupakan pencuri profesional dan mahir dalam aktiviti jenayah berkenaan.

Galeri berpangkalan di London itu baru dibuka November lalu dan berdasarkan rekod, barangan kemas dipamerkan bernilai tinggi serta menjadi pilihan orang kenamaan termasuk mendiang Puteri Diana dan isteri Putera William, Kate Middleton.

Dalam pada itu, kata Khairi, polis menubuhkan pasukan khas yang diketuai beliau sendiri untuk menyiasat kes tersebut. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment