Friday, 17 January 2014

Terengganu bina pusat pemindahan baharu di lokasi mudah banjir

KEMAMAN, JUMAAT, 17 Januari, 2014: Kerajaan Negeri Terengganu sedang mengenal pasti beberapa lokasi strategik untuk dijadikan pusat pemindahan baharu sebagai persiapan menghadapi bencana banjir akan datang.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, antara kawasan yang memerlukan pusat pemindahan baharu ialah Air Putih di sini dan sekitar Hulu Terengganu kerana pusat pemindahan sedia ada ditenggelami bencana banjir besar pada awal Disember lepas.

“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Air Putih diarahkan mencari lokasi sesuai di kawasan lebih tinggi bagi pembinaan pusat pemindahan baharu itu.

"Dengan kos pembinaan kira-kira RM500,000, pusat pemindahan itu akan dilengkapi gelanggang futsal, sepak takraw, tangki air mudah alih dan tandas kekal kerana akan dijadikan pusat aktiviti komuniti setempat pada waktu biasa dan pusat pemindahan ketika banjir," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan kepada mangsa banjir oleh Petronas di Kampung Pasir Gajah di sini hari ini. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment