My Add

Wednesday, 8 January 2014

TPM yakin sasterawan sentiasa bersama kerajaan

 * MUHYIDDI Yassin bersama para pemenang pada majlis penyampaian hadiah Sayembara Penulisan anjuran Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBN), Persatuan Penulis Nasional (PENA) dan Berita Harian di Sri Satria, Putrajaya, semalam. Turut sama (enam dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif ITBN, Mohd. Khair Ngadiron dan Pengerusi ITBN, Datuk Dr. Sharuddin Md. Salleh. - BERNAMA
PUTRAJAYA, SELASA, 07 Januari, 2013: Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin golongan sasterawan sentiasa bersama-sama kerajaan dalam memacu Malaysia ke arah negara maju dan makmur menjelang 2020.

Timbalan Perdana Menteri berkata, karya yang dihasilkan oleh golongan tersebut merupakan wadah terbaik untuk membentuk pemikiran rakyat dalam menjayakan aspirasi negara.

Menurutnya, ikatan kerjasama erat antara golongan sasterawan dengan kerajaan dalam merealisasikan misi nasional sebenarnya merupakan kemuncak usaha membina tamadun bangsa di negara ini.

"Sekiranya ada pihak yang mendakwa golongan sasterawan berada di haluan sana (pembangkang), manakala pemimpin negara berada di haluan sini (kerajaan), itu adalah dakwaan yang tidak benar sama sekali.

"Saya ingin menegaskan bahawa golongan sasterawan tetap memainkan peranan penting dalam membina Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang maju dan makmur," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Sayembara Penulisan Novel, Cerpen dan Puisi anjuran bersama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) dan Berita Harian di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, pembangunan sesebuah negara bukan terletak pada kemajuan material semata-mata, tetapi perlu seiring dengan kematangan pemikiran rakyat dan pembangunan jati diri bangsa yang salah satu kaedahnya ialah penulisan sastera.

"Saya percaya kita akan mencapai matlamat untuk menjadi negara maju dan makmur sekiranya setiap masyarakat berkongsi hasrat dan aspirasi yang seiring dengan ideologi negara seperti yang diuar-uarkan sebelum ini," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, kementeriannya menjadikan komponen sastera sebagai salah satu mata pelajaran penting dan panduan kepada golongan muda, khususnya tentang nilai moral, motivasi, rasional, aspirasi dan juga intelektual.

"Pelbagai langkah proaktif telah diambil termasuk memberikan tanggungjawab kepada ITBM untuk memperbanyakkan penerbitan buku terutama hasil karya golongan belia.

"Pada 2011, kerajaan telah meluluskan peruntukan RM5 juta kepada ITBM, khusus untuk menerbitkan hasil karya sastera tempatan. Saya difahamkan peruntukan tersebut hampir habis digunakan, oleh itu, saya akan memohon untuk menambah RM5 juta lagi kepada ITBM," katanya

Sementara itu, Muhyiddin turut mengucapkan tahniah kepada ITBM kerana berjaya mencapai sasaran menerbitkan 240 judul buku karya asli dalam tempoh dua tahun iaitu dari 2012 hingga 2013.

Pada majlis tersebut, Muhyiddin turut menyampaikan hadiah kepada 30 pemenang Sayembara Penulisan Novel, Cerpen dan Puisi dengan hadiah keseluruhan sebanyak RM130,000.

Bagi kategori novel, tempat pertama dimenangi Wan Nor Azriq Wan Mokhtar dengan novel bertajuk D.U.B.L.I.N; kategori cerpen (Ruhaini Mat Darin - Melawan yang Mustahil) dan puisi (Mohd. Ridzuan Harun - Negeri Kunang-Kunang). - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment