Saturday, 4 January 2014

UMMB nafi fitnah Kit Siang, bicara 22 Ogos

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 03 Jauari, 2013: Syarikat penerbitan akhbar, Utusan Melayu (M) Bhd. (UMMB) menafikan bahawa satu artikel yang diterbitkan dalam akhbar Mingguan Malaysia pada Ogos tahun lalu berhubung pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP telah memfitnah Penasihat parti itu, Lim Kit Siang.

Sebaliknya, syarikat itu menyatakan, artikel terbabit diterbitkan hasil penyiasatan kewartawanan, kenyataan-kenyataan dan artikel-artikel yang dibuat dalam media massa sebelum penerbitan laporan yang dikatakan berbaur fitnah tersebut.

Menurut pernyataan pembelaan UMMB yang difailkan pada 25 November 2013, artikel bertajuk Kit Siang manipulasi CEC? itu juga ditulis berkaitan satu buku kecil Laporan Ekuiti yang dikatakan disusun oleh Father Augustus Chen dan telah disebarkan kepada masyarakat umum.

Syarikat itu turut memberitahu, pihaknya telah mengambil langkah sewajarnya dalam mendapatkan dan mengesahkan maklumat yang terdapat dalam artikel berkenaan.

Defendan tunggal dalam kes saman fitnah oleh Kit Siang itu turut menyatakan bahawa artikel itu diterbitkan berlandaskan perlindungan bersyarat dan kepentingan awam.

Menurut writ dan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 19 September 2013 di Mahkamah Tinggi di sini, Kit Siang mendakwa Mingguan Malaysia bertarikh 18 Ogos tahun lalu telah menyiarkan artikel bertajuk Kit Siang manipulasi CEC? yang didakwa mengandungi perkataan berunsur fitnah.

Oleh itu, Kit Siang selaku plaintif menuntut satu jumlah ganti rugi am, teruk dan teladan yang tidak dinyatakan jumlahnya.

Yang turut dituntut ialah kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu, peguam Gobind Singh Deo ketika ditemui selepas selesai pengurusan kes hari ini menyatakan, Hakim Datin Yeoh Wee Siam menetapkan 22 Ogos ini untuk perbicaraan kes itu.

Pada peringkat ini, peguam terbabit memaklumkan pihaknya mempunyai seorang saksi sahaja iaitu Kit Siang.

Peguam, Nur Afifah Mat yang mewakili UMMB pula memaklumkan, pihak-pihak diperintah memfailkan dokumen-dokumen berkaitan dengan isu-isu yang akan dibicarakan dan fakta yang dipersetujui selewat-lewatnya pada 21 Februari ini.

Pernyataan saksi pula perlu difailkan pada 11 April ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment