![]() |
* ABDUL Wahid Omar kelihatan bersantai membeli daging segar di Pasar Awam Presint 8, Putrajaya, semalam. |
Walaupun bergelar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Wahid tetap menemani isteri untuk membeli-belah malah beliau selalu membandingkan harga barangan di pasar-pasar basah sekitar Putrajaya.
Menurutnya, amalan membandingkan harga membolehkan beliau mendapatkan sesuatu produk dengan harga yang paling baik.
"Saya sebenarnya lebih kerap berkunjung ke pasar basah di Dengkil berbanding di pasar Presint 8 di Putrajaya kerana harga ikan di Dengkil lebih murah.
"Perbezaan harga ikan antara dua pasar ini boleh mencecah 20 hingga 30 peratus," katanya di Pasar Awam Presint 8 sini hari ini.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malayan Banking Berhad (Maybank) itu kebetulan ditemui pemberita yang membuat liputan mengenai program turun padang Pemuda UMNO Putrajaya di pasar tersebut.
Abdul Wahid yang kini menetap di Cyberjaya kelihatan serba ringkas memakai kemeja T berwarna jingga dan membawa kereta sendiri untuk membeli-belah di pasar tersebut.
Beliau berkata, walaupun sesetengah produk di Pasar Awam Presint 8 adalah lebih mahal berbanding di Dengkil, namun pasar tersebut masih mempunyai kelebihan tersendiri.
Menurutnya, beliau gemar turun ke pasar walaupun sebelum dilantik sebagai menteri yang bertanggungjawab menjaga Unit Perancang Ekonomi (EPU).
"Semasa di Maybank dan berpeluang melawat negara jiran seperti Kemboja dan Indonesia, saya turut meluangkan masa untuk melawat pasar-pasar di negara itu.
"Dengan berkunjung ke pasar di luar negara, kita sebenarnya boleh membandingkan kos hidup negara berkenaan dengan negara lain," katanya. - UTUSAN

No comments:
Post a Comment