My Add

Friday, 17 January 2014

Wanita maut leher dikelar suami

Oleh ASHLEY ANGGAT
 
 * ANGGOTA polis mengangkat mayat Salasiah Jama untuk dibawa ke Hospital Miri, Sarawak, semalam. - UTUSAN/ASHLEY ANGGAT
MIRI, KHAMIS, 16 Januari, 2014: Akibat tertekan dengan krisis rumah tangga, seorang lelaki warga Indonesia tergamak mengelar leher isterinya sehingga mati di sebuah kuarters pekerja di Ladang Kelapa Sawit Kuala Suai di Kilometer 126, Jalan Miri-Bintulu di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian pukul 2 pagi itu, mangsa, Salasiah Jama, 33, berasal dari Makassar, Indonesia, mati akibat cedera parah di tengkuk selepas dikelar dengan sebilah pisau badik.

Selepas membunuh isterinya, suspek, Tompo Yara, 38, dari Batu Napara, Indonesia bertindak mengelar lehernya sendiri tetapi tidak mati dan kini dirawat di Hospital Bintulu.

Penyelia ladang, Hendra Jumalan, 35, memberitahu, kejadian itu disedari oleh adik lelaki mangsa yang terjaga selepas mendengar jeritan kakaknya meminta tolong.

Katanya, curiga dengan jeritan itu, adik mangsa segera membuat pemeriksaan dan terkejut melihat darah mengalir dari celah pintu bilik tidur kakaknya.

"Bimbang sesuatu menimpa kakaknya, adik mangsa segera memaklumkan kepada saya dan kami berdua bergegas ke tempat kejadian.

"Kami cuba membuka pintu namun gagal kerana pintu dikunci dari dalam lalu mengambil keputusan untuk menghubungi polis," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Beliau berkata, polis yang tiba di tempat kejadian kira-kira sejam selepas itu terpaksa mengumpil pintu bilik pasangan suami isteri berkenaan untuk masuk.

Katanya, sebaik sahaja pintu dibuka, Salasiah dilihat dalam keadaan tertiarap berlumuran darah manakala suaminya terbaring, juga dalam keadaan parah di sebelahnya.

Hendra berkata, pasangan suami isteri yang sudah bekerja di ladang berkenaan hampir tiga tahun itu, dipercayai mengalami krisis rumah tangga sejak beberapa hari lalu namun mereka tidak pasti punca sebenar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mun Kock Keong ketika dihubungi berkata, lelaki tersebut telah dikejarkan ke Hospital Bintulu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Pemeriksaan polis di tempat kejadian turut menemui senjata yang dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Miri untuk bedah siasat dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment