Sunday, 5 January 2014

Wanita warga India ditemui mati dibunuh

 * ANGGOTA polis mengusung mayat wanita warga India di Taman Ikan Mas, Cheras, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, SABTU, 04 Januari, 2013: Seorang pekerja butik perkahwinan warga India ditemui mati dipercayai dibunuh di sebuah bangunan rumah kedai di Amber Business Plaza, Jalan Jelawat 1, Cheras di sini semalam.

Mangsa, Jolly Tewari, 28, ditemui dengan kesan kelaran di leher dan satu tikaman di dada kiri pukul 7.45 malam.

Difahamkan mangsa ditemui di tab mandi di sebuah bilik rawatan kecantikan di premis itu oleh majikannya yang datang untuk memberi makan kepada seekor anjing peliharaan di situ.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, mangsa dipercayai telah mati tiga atau empat hari lalu berdasarkan keadaan serta bau ketika mayatnya ditemui.

"Mangsa sebenarnya baru masuk ke negara ini kira-kira enam bulan lalu dan bekerja di pusat kecantikan dan butik pengantin India di situ.

"Dia datang ke Malaysia bersama suaminya yang juga warga India dan tinggal di premis terbabit," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohan Singh memberitahu, polis telah menahan suami mangsa berusia 27 tahun di lokasi kejadian kerana keterangan yang diberikan meragukan.

"Berdasarkan kenyataan lelaki itu, dia tidak bertemu dengan mangsa selepas keluar membeli barang pada 30 Disember lalu. Ketika pulang ke premis itu, pintu berkunci dan panggilan tidak berjawab.

"Dia hanya kembali bersama pemilik premis semalam untuk meminta membuka pintu yang berkunci dan apabila masuk, mereka terhidu bau aneh.

"Pihak polis masih mengesan senjata sebenar yang digunakan tetapi polis akan menyiasat kemungkinan beberapa pisau dapur yang dijumpai di premis itu digunakan dalam kes tersebut," katanya.

Mohan berkata, polis menyiasat motif pembunuhan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Difahamkan, polis turut menemukan sebilah pisau dapur dan dua bilah gunting di lokasi kejadian.

Selasa lalu, suspek dikatakan memaklumkan kepada majikan isterinya bahawa mangsa telah ditahan Jabatan Imigresen kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Bagaimanapun, ketika memberi keterangan kepada polis, suspek mendakwa, isterinya itu tidak dapat dihubungi selepas dia keluar rumah untuk membeli barang Selasa lalu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment