Friday, 21 February 2014

Abang Johari dilantik Timbalan Ketua Menteri II Sarawak?

 ABANG JOHARI
KUCHING, KHAMIS, 20 Februari, 2014: Menteri Pelancongan negeri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg disebut-sebut bakal dilantik menjadi Timbalan Ketua Menteri II Sarawak bagi mengisi kekosongan portfolio itu sejak Pilihan Raya Negeri Sarawak Kesepuluh (PRN-10) pada 2011.

Pelantikan Abang Johari mengisi jawatan yang dikosongkan oleh bekas penyandangnya, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam itu dijangka diumumkan oleh Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dalam sidang akhbar khas yang diadakan di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini pada pukul 10 pagi esok.

Menurut sumber, keputusan melantik Timbalan Presiden II Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu telah dibincang dan diputuskan oleh Abdul Taib bersama beberapa pemimpin kanan Barisan Nasional (BN) Sarawak dalam pertemuan di luar negara sejak beberapa hari lalu.

"Difahamkan, Abdul Taib bersama beberapa pemimpin kanan termasuk Timbalan Ketua Menteri I Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Numpang telah berlepas ke Republik Chech atau Turki pada hujung minggu lalu untuk membincangkan mengenai pelantikan tersebut.

"Abang Johari, 68, bakal bergandingan dengan Alfred Jabu menjadi Timbalan Ketua Menteri selepas Tan Sri Adenan Satem mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak kelima pada 28 Februari ini menggantikan Abdul Taib," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Sumber berkata, keputusan itu difahamkan sebahagian daripada persetujuan dicapai oleh Adenan, Abang Johari dan Naib Presiden Kanan PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang sebelum ini disenaraikan sebagai calon pilihan pengganti Abdul Taib.

Ketiga-tiga mereka merupakan menteri penuh dan anak didik Abdul Taib yang memang dipersiapkan bagi menerajui tampuk pentadbiran Sarawak sebagai persediaan persaraannya.

Dalam perkembangan lain, sumber memberitahu, pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian hampir pasti diadakan pada Mac depan ekoran pelantikan Abdul Taib sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak menggantikan Tun Muhammad Salahuddin Abang Barieng yang berakhir tempoh perkhidmatan pada 28 Februari ini.

"Difahamkan, BN sudah mempunyai calon yang sesuai untuk diletakkan bertanding di DUN itu. Calon tersebut dikatakan merupakan seorang ahli perniagaan berketurunan Melanau tetapi beragama Kristian," katanya.

Menurutnya, calon berusia lingkungan 40-an itu juga dikatakan rapat dengan Datuk Seri Mohd. Effendi Norwawi yang sebelum ini antara nama yang disebut-sebut bakal bertanding di situ, selain Mufti Perlis, Datuk Dr. Juanda Jaya.

Tambah sumber, tawaran kepada ahli perniagaan terbabit untuk bertanding di DUN Balingian sudah dibuat oleh Abdul Taib tetapi setakat ini belum ada keputusan diberikan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment