Monday, 17 February 2014

Abdul Taib yakin pelantikan Adenan tepat

KUCHING, AHAD, 16 Februari, 2014: Pelantikan Tan Sri Adenan Satem sebagai Ketua Menteri kelima adalah pilihan yang tepat, kata Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Menurut Abdul Taib, keputusannya menyerahkan pucuk kepemimpinan ke tangan yang tepat mampu memakmurkan lagi Sarawak.

"Saya tidak akan memimpin negeri ini lagi selepas ini, tetapi saya tahu negeri ini berada dalam tangan yang selamat.

"Walau bagaimanapun, rakyat Sarawak perlu mengekalkan keharmonian dan perpaduan yang telah lama terjalin bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang baik," katanya.

Beliau berucap dalam majlis Ramah-tamah Tahun Baharu Cina anjuran Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di pekarangan Dewan Masyarakat MBKS di sini malam tadi.

Dalam majlis yang dihadiri lebih 10,000 warga kota itu, Abdul Taib turut memberitahu, setiap pemimpin memiliki visi tersendiri untuk memastikan masyarakat berbilang kaum di Sarawak sentiasa bersatu-padu.

Katanya, kemajuan dan pembangunan ekonomi hanya akan datang daripada jalinan kerjasama erat semua kaum dan semangat itu perlu dikekalkan serta disemai kepada golongan muda.

"Saya berasa cukup gembira selepas lebih 30 tahun memberi khidmat kepada Sarawak, satu kenangan yang paling menggembirakan adalah apabila saya menganjurkan Ramah-Tamah Hari Raya, kemudian meraikan Tahun Baharu Cina dan mengunjungi rakan Dayak semasa Hari Gawai di mana kita meraikan tiga perayaan ini bersama.

"Perayaan ini tidak diraikan satu kaum sahaja tetapi diraikan bersama masyarakat berbilang kaum di Sarawak. Inilah yang membezakan Sarawak dengan negeri-negeri lain kerana perpaduan dan kesatuan rakyatnya terus kekal meskipun berbilang kaum," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment