My Add

Thursday, 13 February 2014

Adenan berpengalaman - Dr. Mahathir

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
 
 * TUN Dr. Mahathir Mohamad menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN), yang diwakili oleh Pengerusi YPBN, Hasan Hamzah (kiri) dengan UniKL, yang diwakili oleh Presidennya, Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd. Suud pada Seminar dan Forum Buku Perdana, di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
KUALA LUMPUR, RABU, 12 Februari, 2014: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan pemilihan Tan Sri Adenan Satem, 68, sebagai Ketua Menteri Sarawak baharu menggantikan Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkuat kuasa 1 Mac ini sebagai pilihan paling baik.

Menurut beliau, Adenan yang pernah menjawat Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar di peringkat persekutuan serta memegang banyak jawatan penting dalam pentadbiran kerajaan negeri, kaya dengan pengalaman bagi membolehkannya memimpin Sarawak dengan cemerlang.

"Memang satu pemilihan yang baik kerana beliau mempunyai pengalaman dalam kerajaan negeri dan juga persekutuan. Sekarang ini beliau perlu tumpukan segala-galanya (perhatian) sebagai Ketua Menteri Sarawak baharu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Pelantikan Adenan yang juga Menteri Tugas Tugas Khas Sarawak diumumkan sendiri Abdul Taib selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng, sekali gus menepati ramalan banyak pihak.

Terdahulu, Mahathir menyampaikan ucaptama pada Seminar dan Forum Buku Perdana anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara dengan kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA).

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan Anugerah Buku Negara 2014 kepada Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kota Buku, Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan.

Mengulas lanjut mengenai peralihan kuasa di Sarawak, bekas Perdana Menteri itu berkata, langkah tersebut wajar kerana Abdul Taib sudah lama memerintah dan berharap semua pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dapat mengalih kesetiaan kepada Adenan.

"Setelah dipilih siapa Ketua Menteri, tugas mereka (calon lain yang dikaitkan bakal menggantikan Abdul Taib) ialah mengalih kesetiaan kepada Adenan. Jangan sesama mereka berkelahi dan berpecah. Nanti kita jadi lemah baik di pihak yang menang mahu pun yang kalah," katanya.

Kepada soalan Abdul Taib bakal menjadi Yang Dipertua Negeri Sarawak baharu bagi menggantikan Abang Muhammad pula, beliau berkata, tiada orang yang lebih layak memegang jawatan tersebut selain Abdul Taib sendiri.

Sementara itu, ketika menyampaikan ucaptamanya, Mahathir menyeru seluruh rakyat Malaysia terutama golongan cendekiawan memperbanyakkan lagi penghasilan buku-buku ilmiah agar sasaran 1,000 buku bagi setiap sejuta rakyat dapat dicapai menjelang 2020.

Katanya, bangsa Malaysia akan sentiasa ketinggalan jika rakyatnya tidak berminat untuk menulis buku-buku ilmiah sebagai medium melontarkan pandangan serta idea bernas yang mampu menjadi rujukan kepada generasi sekarang mahu pun akan datang. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment