Alat intipan ditemui di kediaman Gabenor Jakarta
JAKARTA, JUMAAT, 21 Februari, 2014: Tiga peralatan intipan ditemui di kediaman rasmi Gabenor Jakarta, Joko Widodo yang disyaki dilakukan musuh politik bagi mengetahui strategi tokoh popular Indonesia itu.
Ketiga-tiga peralatan dipercayai untuk merakam perbualan peribadi tokoh politik yang lebih dikenali sebagai Jokowi itu dikesan dipasang di ruang tamu, bilik tidur utama dan ruang makan kediaman rasminya di Menteng, Jakarta Pusat pada Disember tahun lepas.
Tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu dipercayai ada kaitan menjelang Pilihan Raya Umum 2014 (Pemilu 2014) kerana Jokowi dilihat sebagai calon paling popular dan sangat disukai ramai.
Siasatan yang dilakukan pihak berkuasa juga mendapati intipan dilakukan terhadap Megawati Sukarnoputeri sehingga tindak-tanduk pemimpin wanita itu sentiasa diekori pasukan perisik yang belum diketahui identiti mereka.
Intipan ke atas kedua-dua pemimpin itu dipercayai mempunyai kaitan dengan Pemilu 2014 kerana mereka adalah tokoh penting dalam Parti Demokrasi Indonesia - Perjuangan (PDI-P) yang dikatakan bakal mendominasi pilihan raya umum kali ini. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment