Friday, 21 February 2014

Bekas pemimpin DAP ditembak

Oleh ASLIZA MUSA
 
 * ANGGOTA polis memeriksa tempat kejadian Wong Kong Ting ditembak mati di hadapan rumahnya diKampung Jering, Ayer Tawar, Lumut, kelmarin.
LUMUT, KHAMIS, 20 Februari, 2014: Bekas Pengerusi DAP cawangan Kampung Jering, Ayer Tawar maut akibat ditembak beberapa das oleh seorang lelaki bermotosikal di hadapan rumahnya di Kampung Jering, Ayer Tawar, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, mangsa, Wong Kong Ting, 56, cedera parah di beberapa bahagian badan dan dikejarkan ke Hospital Manjung bagi mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, dia yang merupakan kontraktor menebang dan menanam semula kelapa sawit meninggal dunia pada pukul 11 malam ketika dirawat.

Difahamkan, mangsa terkena empat das tembakan iaitu di bahagian lengan, dada dan kemaluan mangsa.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba berkata, semasa kejadian, mangsa baru sahaja pulang selepas keluar minum bersama rakannya di kedai berhampiran.

Katanya, sebaik sahaja memasuki pekarangan rumah, suspek dipercayai seorang lelaki bermotosikal muncul dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa.

"Ketika kejadian, keluarga mangsa berada di dalam rumah dan mereka hanya menyedari kejadian itu selepas terdengar bunyi letupan yang pada mulanya disangka mercun.

"Mangsa dikejarkan ke Hospital Manjung oleh ahli keluarganya tetapi disahkan meninggal dunia, sejam selepas itu.

"Pemeriksaan ke atas mangsa mendapati terdapat kesan tembakan di beberapa bahagian badannya," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di sini hari ini.

Jaafar berkata, berdasarkan bedah siasat oleh pakar forensik dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, punca kematian mangsa akibat pendarahan teruk disebabkan luka-luka ditembak.

Katanya, pemeriksaan di tempat kejadian menemui beberapa butir kelongsong peluru yang digunakan dalam kejadian berkenaan.

"Kita kini sedang menyiasat motif kejadian. Oleh itu, satu pasukan khas yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah ditubuhkan bagi menyiasatnya," ujarnya.

Beliau yang tidak menolak kemungkinan terdapat lebih daripada seorang suspek dalam kejadian itu dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian tersebut diminta menghubungi IPD Manjung di talian 05-6899222 atau pegawai penyiasat, Asisten Supritendan Ahmad Hisyam Mohamed Sani menerusi 019-5753207. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment