Friday, 21 February 2014

Empat lelaki Myanmar diselamatkan

Oleh OPAT RATTANACHOT

 * EMPAT lelaki rakyat Myanmar yang berjaya diselamatkan oleh pihak polis dalam serbuan ke atas sebuah rumah usang di Kampung Atap, Jalan Pasar, Sungai Petani, Kedah, semalam. - UTUSAN/Abd. Razak Osman
SUNGAI PETANI, KHAMIS, 20 Februari, 2014: Empat warga Myanmar yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia dengan dikurung dan dirantai tangan mereka berjaya diselamatkan dalam serbuan di sebuah rumah usang di Jalan Pasar, di sini malam tadi.

Ketika ditemui kira-kira pukul 10 malam, kesemua lelaki berusia 30-an itu berada dalam keadaan lesu dan tidak bermaya kerana dipercayai tidak diberi makan sejak tiga hari lalu.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Asisten Komisioner Nashir Ya berkata, bertindak atas maklumat penduduk, tiga orang pegawai dan 20 orang anggota menyerbu premis itu di belakang sebuah hotel.

"Hasil soal siasat, mereka memaklumkan sudah tiga hari tidak diberikan makanan. Mereka dikurung untuk tujuan meminta wang tebusan daripada keluarga yang berada di Myanmar.

"Seorang daripada mangsa mengakui dibawa masuk ke negara ini sejak sembilan hari lalu sebelum ditempatkan di rumah terbabit.

"Dia mendakwa ada pihak tertentu menunggu wang sebanyak RM2,000 setiap seorang daripada keluarga mereka sebelum dibawa bekerja di tapak pembinaan," katanya di sini hari ini.

Tambah beliau, kesemua mangsa dipercayai dikurung dan tidak dibenarkan keluar dari rumah yang berkunci itu dan cuma menanti dihantar ke lokasi tidak diketahui.

"Mereka ditahan itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah. Polis turut menemukan sebilah parang panjang dan pisau di rumah itu," ujarnya.

Berikutan itu, kata beliau, polis menahan penjaga rumah yang juga warga Myanmar berusia 40-an untuk siasatan lanjut.

"Kita sedang mengesan kemungkinan ada dalang di sebalik sindiket ini," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment