Tuesday, 4 February 2014

Geng Salim tumpas, 7 ditahan

Oleh NORHIDAYU MOHD. HASSAN

 * JUNAIDI Bujang menunjukkan komponen kenderaan yang dirampas berhubung kes curi kenderaan dan pecah rumah oleh Geng Salim semasa sidang akhbar di Balai Polis Kampung Baru Subang, Sungai Buloh, semalam.
KUALA LUMPUR, ISNIN, 03 Februari, 2014: Polis percaya telah menumpaskan kumpulan curi dan meleraikan komponen kenderaan dikenali sebagai Geng Salim dengan tertangkapnya tujuh lelaki termasuk seorang anggota tentera dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Melayu Subang, Sungai Buloh dekat sini Rabu lalu.

Serbuan kira-kira pukul 1 pagi itu dilakukan sepasukan pegawai serta anggota dari Balai Polis Kampung Baru Subang dan Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh hasil maklumat dan risikan.

Turut dirampas ialah lapan buah kereta, lima buah motosikal serta pelbagai komponen kenderaan yang telah dileraikan dipercayai hasil curi.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supritendan Junaidi Bujang berkata, hasil kejayaan itu pihaknya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 13 kes curi dan meleraikan komponen kenderaan di sekitar Sungai Buloh, Petaling Jaya dan Shah Alam.

Beliau berkata, pihaknya yakin kegiatan jenayah yang aktif dilakukan Geng Salim sejak enam bulan lalu tumpas sepenuhnya dan tiada lagi anggota kumpulan ini yang masih bebas.

“Polis semasa serbuan berjaya merampas lima buah motosikal pelbagai jenama dan lapan buah kereta termasuk Proton Wira, Perodua Kancil dan Proton Iswara.

“Turut dirampas bersama mereka juga adalah tiga keping nombor pendaftaran kereta, segugus anak kunci kereta, empat unit peranti storan media (pendrive), kad Touch n Go (5), ipad, sekeping kad nama dan kad pengenalan serta pelbagai komponen kenderaan termasuk enjin kereta dan dua bongkah blok kereta," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Balai Polis Kampung Baru Subang, di sini hari ini.

Menurut Junaidi, kesemua suspek berusia 19 hingga 33 tahun ditahan reman sehingga esok mengikut Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan kerana terlibat dalam mencuri kenderaan bermotor.

“Empat suspek yang ditahan mempunyai rekod lampau berkaitan kes tersebut termasuk dua daripadanya merupakan suspek dikehendaki dan masih dalam pengawasan polis.

“Tiga lagi suspek yang turut ditahan sebelum ini tidak pernah mempunyai rekod jenayah. Bagi anggota tentera yang ditahan pula, kita dapati dia berusia 32 tahun dan masih dalam perkhidmatan," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment