Oleh FADZIL ZAINO
8 MUSTAPA Mohamed dan Mohamed Al-Amin Abdul Majid (kanan) menunjukkan buku pelan Insentif Penggabungan Pembekal Perkhidmatan Kecil dan Sederhana, sambil disaksikan oleh Rebeca Patima Sta Maria (dua kiri) dan Nafsah Hashim (dua kanan) pada majlis pelancarannya di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/HALIM KHALID |
Insentif yang akan dirasai oleh syarikat yang bergabung itu adalah seperti menikmati cukai 20 peratus ke atas semua pendapatan boleh cukai untuk tempoh lima tahun berbanding 25 peratus ketika ini. Insentif lain ialah, pengecualian cukai duti setem ke atas dokumen M&A.
Sembilan sub-sektor yang terlibat di dalam pemberian insentif itu ialah perakaunan, pencukaian, perubatan pakar, pergigian pakar, seni bina, kejuruteraan, pendidikan menengah teknikal dan vokasional swasta, latihan kemahiran dan kurier.
Bagi mendapat manfaat daripada insentif itu, syarikat mestilah 100 peratus milik rakyat tempatan dan merupakan perkhidmatan kecil dan sederhana berdasarkan definasi iaitu jualan tahunan tidak melebihi RM20 juta atau bilangan pekerja sepenuh masa tidak melebihi 75 orang.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, usaha terbaharu ini adalah bagi menggalakkan syarikat-syarikat bersaiz kecil bergabung agar mempunyai skala pengeluaran ekonomi yang baik.
Kata beliau, langkah ini juga membolehkan syarikat tempatan mampu menyaingi firma-firma asing yang mahu melabur di Malaysia di dalam sembilan sub-sektor itu. Permohonan insentif untuk M&A itu dibuka sehingga Julai 2015.
"Malah, usaha ini juga memudahkan mereka memasuki atau mengeksport perkhidmatan mereka ke pasaran asing," katanya pada Majlis Pelancaran Insentif M&A Penyedia Perkhidmatan Kecil dan Sederhana di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Dr. Rebecca Fatima Sta Maria; Pengerusi SME Corp., Datuk Dr. Mohamed Al-Amin Abdul Majid dan Ketua Eksekutif, SME Corp., Datuk Hafsah Hashim.
Dalam pada itu, Mustapa berkata, negara masih berhadapan beberapa cabaran dalam usaha menandatangi Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) khususnya isu yang masih belum dipersetujui bersama seperti syarikat hak milik kerajaan, hak harta intelek serta penyelesaian pertikaian pelabur-kerajaan.
"Selagi beberapa isu itu tidak memenuhi kehendak Malaysia, kita tidak akan menandatangi TPPA," katanya.
Pusingan rundingan TPPA seterusnya akan diadakan di Singapura dari 22 hingga 25 Februari ini. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment