Sunday, 23 February 2014

Khutbah: Guan Eng dicabar lapor polis

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL

BUTTERWORTH, SABTU, 22 Februari, 2014: Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP) mencabar Ketua Menteri, Lim Guan Eng membuat laporan polis berhubung ‘fitnah’ terhadap kerajaan DAP Pulau Pinang yang mahu memansuhkan khutbah Jumaat di negeri ini seperti yang disebar luas menerusi internet.

Presidennya, Rahmad Isahak berkata, Guan Eng dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Abdul Malik Kasim perlu segera berbuat demikian bagi meyakinkan umat Islam di negeri ini perkara tersebut tidak akan berlaku.

Laporan polis itu juga, tambah beliau, bagi membolehkan tuduhan tersebut disiasat seterusnya mengenal pasti dalang yang terlibat.

"Tuduhan berkenaan sangat berat dan akan terus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan umat Islam di negeri ini selagi Guan Eng dan Abdul Malik tidak membuat laporan polis," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beberapa blog sebelum ini menyiarkan artikel bertajuk Penang Pertimbang Untuk Haramkan Khutbah Jumaat yang memetik kenyataan beberapa pemimpin DAP yang menganggap kandungan khutbah Jumaat bertentangan dengan semangat antara kaum dan agama.

Guan Eng dalam reaksinya menerusi Twitter menafikan perkara itu sambil menyifatkan sebagai fitnah jahat UMNO.

Mengulas lanjut, Rahmad yang juga bekas ahli DAP berkata, kegagalan Guan Eng dan Abdul Malik membuat laporan polis berhubung isu berkenaan boleh mendatangkan pelbagai spekulasi termasuk ditafsir rakyat dakwaan itu mempunyai kebenaran.

"Sebelum ini, Abdul Malik menafikan perkara itu dan menjelaskan tuduhan berkenaan adalah tidak berasas. Sebagai Exco yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal agama, beliau seharusnya menjadi individu pertama membuat laporan polis dan bukan hanya menafikan dalam sidang akhbar," katanya.

Menurutnya, dalam soal berkenaan, Abdul Malik juga seharusnya menegakkan kebenaran Malaysia merupakan negara Islam dan adalah mustahil khutbah Jumaat boleh dimansuhkan termasuk di negeri yang ditadbir pembangkang.

"Adakah Abdul Malik perlu mendapat kelulusan Guan Eng sebelum membuat laporan polis berhubung isu ini yang berkait rapat dan menyentuh hal ehwal agama Islam?," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment