Thursday, 13 February 2014

Pas nafi pujuk Khalid keluar PKR

KUALA LUMPUR, RABU, 12 Februari, 2014: Pas menafikan dakwaan pernah memujuk Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyertai parti itu, sekali gus keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Perkara itu dinyatakan Naib Presidennya, Salahuddin Ayub sambil menegaskan tiada pertemuan diadakan membabitkan pemimpin tertinggi parti dengan Abdul Khalid berhubung isu berkenaan.

"Tiada pujuk atau pertemuan. Tiada perbincangan formal diadakan antara kita (Pas) dan beliau (Abdul Khalid). Tak timbul perkara itu.

"Apa yang pasti, kita menyokong dan akan memberikan bantuan sewajarnya terhadap calon PKR yang akan bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang nanti," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia berhubung dakwaan Abdul Khalid pernah dipujuk oleh beberapa pemimpin Pas untuk menyertai parti itu, susulan daripada kemelut dalaman PKR Selangor termasuk perebutan jawatan Menteri Besar.

Sebelum ini, akhbar melaporkan mengenai pergolakan PKR Selangor ekoran tindakan Pengerusi PKR negeri, Azmin Ali mengkritik pentadbiran Abdul Khalid membabitkan isu-isu tertentu termasuk pemecatan 23 kakitangan PKNS Holdings Berhad (PNHB) pada 4 Februari lalu.

Selain kritikan serta kecaman terhadap pentadbirannya, Abdul Khalid turut dikaitkan dengan desakan kuat daripada PKR sendiri yang mahu beliau berundur dan jawatan Menteri Besar digantikan dengan individu lain daripada kalangan pemimpin PKR.

Salahuddin memberitahu, walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim diumumkan sebagai calon pilihan raya kecil DUN berkenaan dan timbulnya spekulasi Penasihat PKR itu akan menggantikan tempat Abdul Khalid, Pas masih belum membincangkan mengenai perkara terbabit.

"Siapa bakal Menteri Besar Selangor, kita tak bincang pun. Pada tahap ini, kita nak pastikan kemenangan pakatan pembangkang di DUN Kajang. Itu sahaja," jelasnya.

Sementara itu, seorang lagi Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang diajukan persoalan sama turut menolak dakwaan berkenaan sambil menegaskan tiada pertemuan diadakan untuk memujuk Abdul Khalid menyertai Pas.

Secara ringkas, beliau berkata: "Tak betul (dakwaan), mana ada. Kita (Pas) tak pernah pujuk beliau (Abdul Khalid) masuk Pas". - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment