Pasaran modal negara RM2.7 trilion
KUALA LUMPUR, SELASA, 18 Februari, 2014: Pasaran modal negara berjaya mencatatkan pertumbuhan yang baik pada tahun lalu dengan merekodkan jumlah sebanyak RM2.7 trilion, iaitu peningkatan 10.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun 2012 meskipun berhadapan dengan pelbagai ketidaktentuan pasaran.
Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC), Datuk Ranjit Ajit Singh berkata, aktiviti meraih dana sepanjang tahun lalu agak menggalakkan dengan prestasi saham yang baik selain aktiviti penerbitan bon yang kukuh.
Kata beliau, pencapaian yang baik itu turut didorong perkembangan industri unit amanah yang mana tumbuh 14 peratus pada tahun lalu, dengan nilai aset bersihnya (NAV) berjumlah RM335.5 bilion meliputi 595 dana unit amanah.
Pada 1993, NAV segmen ini hanya RM28 bilion meliputi 44 dana unit amanah. Dalam tempoh 20 tahun sahaja, industri ini semakin penting dengan kini menguasai 20 peratus nilai pasaran modal," katanya pada majlis Anugerah Dana The Edge-Lipper Malaysia 2014 di sini hari ini.
Selain segmen industri unit amanah, perkembangan pasaran modal itu turut disumbangkan oleh aktiviti segmen ekuiti dan penerbitan bon. Kata Ranjit lagi, pertumbuhan industri unit amanah itu juga menggambarkan keyakinan pelabur ke atas pasaran Malaysia.
Dalam pada itu, Ranjit berkata, Skim Persaraan Swasta (PRS) yang dilancarkan pada 2012 turut mendapat sambutan baik dengan NAV berjumlah RM300 juta, meliputi 44 dana direkodkan dengan lebih 60,000 akaun pelanggan diwujudkan.
Daripada jumlah itu 79 peratus pelanggan terdiri daripada kumpulan yang berkerja dan selebihnya mereka yang berkerja sendiri atau pesara.
Sementara itu, dalam majlis penganugerahan tersebut, Public Mutual Bhd., menerima 10 anugerah meliputi pelbagai kategori unit amanah. Kriteria pemenang dipilih turut berdasarkan prestasi kadar agihan yang baik kepada pelanggannya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment