Sunday, 16 February 2014

Pemuda UMNO buat persiapan awal DUN Kajang

SEREMBAN, SABTU, 15 Februari, 2014:  Pergerakan Pemuda UMNO akan membuat persiapan awal sekiranya Barisan Nasional (BN) meletakkan calon bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac ini.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, walaupun BN belum memutuskan mengenainya, beliau akan tetap turun ke Kajang bagi melihat situasi dan gambaran sebenar kawasan itu.

"Kita akan buat tinjauan di sana biarpun BN belum lagi memutuskan sama ada bertanding ataupun tidak. Walau apa pun, kita akan turun ke sana esok dan saya sendiri akan mendapatkan taklimat daripada Ketua Pemuda UMNO bahagian.

"Saya sendiri akan melihat kepada persiapan awal yang mungkin kita boleh lakukan selain mengadakan program 'walkabout' bertemu penduduk setempat memandangkan kita tengok Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) begitu ghairah berkempen di sana sejak awal lagi," katanya.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Pertandingan Memancing anjuran Pemuda UMNO Negeri Sembilan di Taman Tasik Seremban di sini hari ini. Turut hadir Menteri Besar merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Sementara itu, beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO negeri memberitahu, pihaknya akan terus mendekati orang ramai menerusi pelbagai program setiap bulan di seluruh negeri ini.

Jelasnya, beliau telah meminta semua Exco Pemuda negeri merangka pelbagai program di bahagian-bahagian melibatkan golongan sasar.

"Pendekatan ini adalah berkesan, sekali gus dapat kita tunjukkan kepada masyarakat bahawa Pemuda UMNO bukan sahaja sayap parti politik, tetapi dekat di hati rakyat.

"Mungkin selepas ini kita akan buat pula program keagamaan dan saya telah minta mereka aturkan untuk melaksanakannya pada Mac ini," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment