![]() |
* LIOW TIong Lai memberi sumbangan limau mandarin kepada salah seorang pengunjung di Pasar Sungai Chua, Kajang, semalam. |
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Liow Tiong Lai berkata, pendidikan Cina merupakan satu perjuangan yang kuat dalam kalangan masyarakat Cina di Kajang dan di sini juga terletak ibu pejabat Pertubuhan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).
"Anwar ada rekod buruk dalam pendidikan Cina. Sewaktu menjadi Menteri Pendidikan, beliau pernah menindas pendidikan Cina dan dialah yang mencetuskan 'Ops Lalang' pada 1987 dan ketegangan yang timbul selepas guru besar dan guru yang tidak mempunyai kelayakan bahasa Cina dihantar ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
"Episod tersebut masih diingati oleh orang Cina. Anwar juga yang menghantar pekeliling kepada semua negeri supaya semua tanah sekolah tidak dirizab kepada SJKC tetapi hanya kepada Sekolah Kebangsaan (SK)," katanya kepada pemberita selepas melawat Pasar Sungai Chua di sini hari ini.
Dalam program tersebut, Tiong Lai yang diiringi Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong; Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie dan Pengerusi MCA Bahagian Hulu Langat, Lee Ban Seng memberikan bunga dan coklat kepada penduduk di sini sempena sambutan Hari Kekasih dan perayaan Chap Goh Mei hari ini.
Menurut Tiong Lai, Dong Zong juga mengetahui bahawa perjuangan Anwar tidak boleh dipercayai apatah lagi selepas beliau memanipulasi sistem demokrasi bagi membolehkan beliau bertanding di DUN Kajang dan menjadi Menteri Besar Selangor, sekali gus meminggirkan penyandang jawatan itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
"Anwar telah datang ke Dong Zong dan buat pelbagai janji. Saya sebagai pemimpin MCA perlu dedahkan bahawa janji-janji tersebut bukan boleh ditepati.
"Anwar kata beliau bertanding kerana hendak berkhidmat di Kajang. Kita tahu beliau tidak akan berikan perkhidmatan kepada penduduk tetapi hanya janji-janji kosong," katanya.
Beliau berkata, seorang pemimpin perlu ada perjuangan untuk rakyat dan generasi masa hadapan, sebaliknya Anwar menggunakan PRK DUN Kajang sebagai platform untuk agenda peribadi.
Ditanya mengenai janji Anwar untuk membawa kembali bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib ke dalam kerajaan negeri sekiranya beliau menang di Kajang, Tiong Lai berkata, Ketua Pembangkang itu belum tentu akan mengotakan apa yang dijanjikan itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Tiong Lai memberitahu, MCA telah membuat persiapan terperinci untuk menghadapi PRK DUN Kajang dan beliau mengarahkan semua pemimpin tertinggi MCA untuk turun padang bagi bersama dengan penduduk di sini.
Beliau berkata, MCA akan melancarkan bilik gerakannya untuk PRK DUN Kajang Ahad ini dan telah mengatur pelbagai siri ceramah untuk mendedahkan dakyah Anwar kepada penduduk di sini. - UTUSAN

No comments:
Post a Comment