Thursday, 20 February 2014

Perbicaraan pasangan Malaysia di Sweden bermula

 * KEADAAN dalam Mahkamah Daerah di Solna, Stockholm, Sweden ketika perbicaraan kes Azizul Raheem Awaluddin dan Shalwati Nor Shal atas tuduhan memukul keempat-empat anak mereka, semalam.
KUALA LUMPUR, RABU, 18 Februari, 2014: Perbicaraan terhadap pasangan warga Malaysia, Azizul Raheem Awaluddin dan isterinya, Shalwati Nor Shal atas tuduhan memukul keempat-empat anak mereka bermula hari ini di Mahkamah Daerah di Solna, Stockholm, Sweden.

Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, pendakwaan diketuai pendakwa raya Anna Arnell manakala Azizul Raheem diwakili oleh peguam bela Jonas Tamm dan Shalwati diwakili oleh Kristofer Stahre.

"Perbicaraan itu turut dihadiri Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab untuk memberi sokongan moral kepada Azizul dan Shalwati.

"SukaGuam dan Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda UMNO disertai peguam hak asasi, pakar kaunseling, ahli akademik, aktivis masyarakat, wakil Muslim Eropah bersetuju mewujudkan pusat maklumat khas bagi membantu pasangan itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 10 Februari lalu, Azizul Raheem dan Shalwati didakwa di mahkamah daerah Solna atas pertuduhan memukul keempat-empat anak mereka antara tahun 2010 hingga 2013.

Tuntutan pertuduhan yang disifatkan sebagai luar jangkaan itu diterima mahkamah dalam bentuk bertulis yang dikemukakan pihak pendakwa raya.

Pertuduhan itu menyebut pasangan berkenaan didakwa memukul anak-anak mereka dengan penyangkut baju, kayu dan tali pinggang dalam beberapa kejadian.

Khairul Anwar dalam pada itu memberitahu, pihak pendakwa belum mengemukakan sebarang saksi namun pihaknya difahamkan sebanyak 10 orang saksi akan ditampilkan sepanjang sesi perbicaraan itu.

"Kita akan mencadangkan supaya keterangan saksi-saksi berkenaan dicabar sekiranya melibatkan rakan-rakan sekolah anak-anak pasangan itu.

"Ini kerana anak-anak itu terdedah kepada unsur-unsur luaran yang mungkin mendorong mereka memberi kenyataan yang berat sebelah," katanya.

Khairul Anwar memberitahu, SukaGuam juga akan mencadangkan supaya keterangan terkini daripada anak-anak pasangan itu diambil melalui rakaman video di Malaysia.

"Ini kerana mereka adalah saksi utama sama ada tindakan ibu bapa mereka itu adalah dengan niat mendidik ataupun penderaan seperti yang didakwa," jelasnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment