My Add

Thursday, 13 February 2014

Perlu jadi pemimpin berhemah - POKB

KUALA LUMPUR, RABU, 12 Februari, 2014: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok diminta mencontohi sikap pemimpin pembangkang terdahulu yang lebih bertanggungjawab dan bijak membezakan antara kepentingan negara dan politik.

Mengambil contoh tokoh pembangkang yang disegani iaitu mendiang Tan Sri Tan Chee Koon, Presiden Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berkata, tindakan Teresa tidak melambangkan sikap seperti tokoh itu yang pernah menjadi ketua pembangkang di Parlimen satu ketika dahulu.

Kata beliau, seharusnya Ahli Parlimen itu mencontohi Chee Koon kerana beliau mampu membezakan antara kepentingan negara dan politik.

"Masyarakat sudah bosan dengan politiking berlebihan terutama melibatkan kenyataan atau tindakan daripada seorang Ahli Parlimen.

"Teresa perlu tahu bahawa rakyat pelbagai kaum dan agama tidak mahu negara 'terbakar' kerana isu-isu perkauman dan agama yang dipolitikkan hingga menjejaskan perpaduan kaum di negara kita.

"Seharusnya ketika ini, semua pemimpin sama ada pembangkang mahupun kerajaan dapat duduk semeja serta bersatu demi memastikan negara terus kekal aman dan maju," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini, Teresa mencetuskan kemarahan ramai pihak apabila menghasilkan video sinis iaitu ONEderfull Malaysia CNY 2014 sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Klip video tersebut yang memaparkan Teresa selaku moderator bersama tiga orang tetamu undangannya antara lain menyindir pemimpin negara serta krisis keselamatan di Sabah.

Dalam pada itu, Sheikh Ahmad Dusuki turut menyifatkan tindakan Teresa jelas membawa mesej yang salah dan bertentangan dengan adat dan budaya rakyat Malaysia yang berbilang kaum terutamanya apabila video itu dibuat ketika meraikan Tahun Baharu Cina.

Jelasnya, video tersebut jelas menyinggung perasaan dan sensitiviti rakyat apabila menghina pemimpin negara dan pasukan keselamatan walaupun dibuat dalam bentuk kelakar.

Tambahnya, Teresa perlu akur dengan kehendak rakyat yang meminta beliau memohon maaf atas tindakannya itu dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

Sheikh Ahmad Dusuki juga berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak tegas dalam menangani isu berkenaan tambahan pula apabila timbul isu baru ekoran tawaran untuk menampar ahli parlimen itu.

"Kita tidak mahu tawaran itu menjadi kenyataan dan akan memburukkan lagi keadaan, jadi kita harap pihak berkaitan dapat selesaikan perkara ini dengan segera dan jika perlu, SKMM harus menyekat penyiaran video berkenaan daripada terus dipaparkan," jelasnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment