Saturday, 15 February 2014

Premis 100 tahun di Jonker Walk musnah dalam kebakaran

MELAKA, SABTU, 15 Februari, 2014: Suasana meriah pasar malam Jonker Walk di Jalan Hang Jebat di sini bertukar kelam-kabut apabila sebuah premis berusia 100 tahun yang menjual makanan tempatan dan tradisional terbakar.

Dalam kejadian 11.30 malam itu, bumbung bangunan milik Persatuan Eng Choon tersebut runtuh dan hampir 80 peratus struktur bangunan musnah, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Zainuddin Md. Alip hari ini.

Bercakap dalam sidang media di sini, beliau berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 11.32 malam dan tiba di lokasi lima minit kemudian dengan empat jentera bersama 25 anggota.

Ketika tiba, api sedang marak di bahagian tengah kedai dan kebakaran dapat dikawal daripada merebak ke bangunan sebelah pada 11.48 malam serta dipadamkan sepenuhnya pada 12 tengah malam, katanya.

Menurut Zainuddin, bomba mengalami kesukaran tiba di lokasi kerana kawasan tersebut sesak dengan pengunjung namun peniaga memberi kerjasama dengan mengosongkan jalan bagi memberi laluan kepada jentera bomba. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment