Sunday, 16 February 2014

Tanam semula ditangguh

JEMPOL, SABTU, 15 Februari, 2014: Pihak pengurusan Felda akan menangguhkan proses tanaman semula bagi kelapa sawit dan getah sekiranya cuaca panas berterusan di negara ini.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, pihak Felda sebelum ini menggunakan kaedah siraman tanaman namun masih tidak dapat memberikan bekalan air yang mencukupi kepada kedua-dua komoditi itu.

"Buat masa ini pemantauan akan diteruskan sehingga kita mendapat satu keputusan yang tepat iaitu menghentikan proses tanaman semula untuk sementara waktu.

"Sebagai contoh, dalam jangka masa dua tahun ini terdapat 2,023.5 hektar tanaman semula akan dilakukan di Felda Wilayah Raja Alias di sini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat serentak Tabika Kemas Gugusan Serting Hilir Kompleks dekat sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Isa berkata, Felda bakal membuka sebuah bandar baharu berhampiran Feldajaya Selatan dekat Wilayah Raja Alias.

Jelas beliau, pihaknya kini menunggu pemaju menyediakan pelan dan reka bentuk rumah yang mana akan dipamerkan ketika proses pecah tanah diadakan kelak.

"Kita juga akan berbincang dan mendapatkan kelulusan kerajaan negeri bagi melaksanakan projek berkenaan.

"Bandar baharu ini mempunyai lima fasa meliputi kedai serta rumah warga Felda dan masyarakat luar Felda. Premis tersebut bakal dibina di atas tanah berkeluasan lebih daripada 4,04.7 hektar," katanya.

Mengulas dakwaan pelajar tajaan Felda di Kolej Antarabangsa KFCH dekat Puchong, Selangor yang tidak dibayar elaun makan, Mohd. Isa berkata, pihaknya akan berbincang dengan pengurusan kolej pada minggu hadapan.

"Perjumpaan ini bukan sahaja bakal membincangkan tentang dakwaan tersebut malah melihat perkembangan kursus yang ditawarkan oleh pihak kolej kepada anak Felda.

"Sekiranya masalah itu benar-benar berlaku pastinya satu jalan penyelesaian akan diambil segera. Kita tidak mahu anak-anak ini tidak selesa ketika mendapatkan ilmu," katanya. - UTUSAN  

No comments:

Post a Comment