Saturday, 15 February 2014

Tiga maut Gunung Kelud meletus

 * SEBAHAGIAN penduduk tidur di kaki lima sebuah pusat penempatan sementara di Kediri. - AFP/AGENSI
JAKARTA, JUMAAT, 14 Februari, 2014: Semburan lahar dan abu dari puncak Gunung Berapi Kelud, Jawa Timur yang meletus malam tadi menyebabkan tiga orang meninggal dunia, sementara lebih 200,00 penduduk sekitarnya terpaksa dipindahkan.

Dua mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Sail dan Pontini, masing-masing berusia 60 dan 65 tahun, sementara mangsa ketiga masih belum dikenal pasti.

Sail menghembuskan nafas terakhir di bawah meja kerana atap rumahnya roboh, sementara Pontini pula meninggal dunia kerana tertimpa tembok yang roboh.

Gunung berapi tersebut menghamburkan abu setinggi 17 kilometer ke udara malam tadi, memaksa lima lapangan terbang ditutup di Surabaya, Yogyakarta, Solo, Malang dan Semarang.

Abu dihamburkan Kelud turut berterbangan sehingga ke bandar Surabaya yang terletak sejauh 130 kilometer.

Pihak berkuasa yang melakukan pemantauan juga mendapati, abu halus Gunung Kelud juga dikesan di sejumlah lokasi lain di Kota Bandung, namun tidak mengganggu aliran trafik.

Di Yogyakarta pula, beberapa destinasi pelancongan terkenal iaitu Candi Borobudor, Prambanan dan Istana Ratu Boko ditutup bermula hari ini memandangkan ketiga-tiga pusat tarikan pelancongan itu dilitupi abu volkanik berikutan meletusnya Gunung Kelud.

Menurut setiausaha syarikat penyelenggaraan Candi Borobudur, Prambanan dan Ratu Boko Yogyakarta, Achmad Muchlis, ketiga-tiga lokasi itu tidak selamat untuk dikunjungi buat masa ini.

Katanya, penutupan itu akan dilakukan buat sementara waktu sehingga pengurusan syarikat dimaklumkan oleh pihak berkuasa.

“Kami meminta maaf di atas segala kesulitan ini," kata Achmad Muchlis.

Gunung Berapi Kelud setinggi 1,731 meter sebelum ini pernah menyebabkan lebih 15,000 orang terbunuh sejak mula meletus pada tahun 1500, termasuk 10,000 kematian dalam letusan terbesar pada tahun 1568.

Gunung Kelud dilaporkan memiliki putaran letusan antara 12 hingga 15 tahun sekali. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment