Sunday, 23 February 2014

Ubah subsidi pukal supaya lebih adil

 * ADAM a/l Karpen (kiri), Choo Kim Fatt dan Razali Ahmad (kanan) gembira bersama wang bantuan pada Majlis Pelancaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M & i-BR1M) Peringkat Nasional 2014 di Sekolah Aminuddin Baki, Kampung Pandan, Kuala Lumpur, semalam. - MINGGUAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH
KUALA LUMPUR, SABTU, 22 Februari, 2014: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan mengubah dasar subsidi negara iaitu daripada subsidi bersifat pukal kepada bersasar bagi memastikan pelaksanaan yang adil dan berfokus.

Menurut Perdana Menteri, hal demikian kerana pelaksanaan subsidi ketika ini dilihat terdedah kepada pembaziran dan ketirisan termasuk dinikmati golongan yang tidak sepatutnya seperti pelancong dan pekerja asing.

Berhubung perkara itu, beliau memberi contoh pemberian subsidi petrol RON95 yang dilihat tidak adil apabila golongan berpendapatan tinggi menikmati nilai subsidi yang besar berbanding golongan lain.

"Apa yang kita lakukan bukannya hendak membebankan rakyat. Kita hendak alih daripada subsidi yang banyak ketirisan, ada yang seludup diesel, ada kilang-kilang besar guna diesel subsidi, ada nelayan jual diesel.

"Contohnya RON95, setiap liter minyak petrol itu ada 63 sen subsidi oleh kerajaan. Kalau pengguna kereta Perodua Kancil dengan kapasiti enjin di bawah 1,000 cc dan diandaikan membuat perjalanan 50 kilometer (km) sehari atau 350 km seminggu.

"Mereka akan menggunakan 30 liter petrol seminggu atau 120 liter petrol sebulan dan menikmati subsidi RM19 seminggu atau RM76 sebulan. Jika 12 bulan, maka mereka nikmati subsidi RM900 setahun," katanya.

Beliau berucap melancarkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2014 dan i-BR1M Peringkat Nasional, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Najib memberitahu, berbanding pengguna kenderaan dengan enjin berkapasiti 2,500 cc, atas perkiraan yang sama, secara puratanya golongan itu akan menikmati subsidi RM2,400 setahun.

"Mana adilnya? Tidak adil. Orang kaya dapat subsidi lebih besar, tak adil. Ditambah pelancong luar atau pekerja asing pun membeli petrol yang subsidi, adil tak? Sebab ini semua duit rakyat, jadi kita ubah daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar atau lebih fokus," jelasnya.

Beliau berkata, ketika ini kerajaan menyediakan subsidi berjumlah RM24.1 bilion merangkumi subsidi barangan asas iaitu minyak diesel, gas memasak, minyak masak, tepung gandum dan beras termasuk BR1M, baucar buku dan bantuan persekolahan.

"Selain itu subsidi kepada golongan nelayan dan penanam padi, berjumlah RM1.9 bilion yang merangkumi subsidi harga dan insentif hasil padi serta bantuan nelayan. Itu termasuk insentif hasil tangkapan ikan, subsidi benih padi dan insentif pengeluaran padi," katanya.

Beliau berkata, RM14 bilion lagi adalah untuk bantuan tambahan seperti subsidi faedah imbuhan tabung pinjaman bernilai RM1.6 bilion, subsidi kadar elektrik (RM150 juta), program bantuan pelajar sekolah RM2 bilion)

Bantuan warga emas (RM511 juta), bantuan orang kurang upaya atau OKU (424.1 juta), Orang Asli (RM44.3 juta) dan bantuan lain (RM1.8 bilion) serta Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu Perangi Kos Kehidupan Yang Kian Meningkat (RM320.1 juta).

Perdana Menteri berkata, segala bantuan atau subsidi itu tidak termasuk bantuan secara tidak langsung yang melibatkan kos perubatan.

"Kalau pergi ke hospital kerajaan, cuma bayar RM1, jumpa pakar (RM5), kos ubat-ubatan percuma, X-ray percuma, (ibu) yang lahirkan anak (di kelas ketiga hospital kerajaan) bayar RM26. Mana ada negara lain yang dapat menyediakan bantuan sebanyak ini kepada rakyat," katanya.

Namun kata beliau, di sebalik bantuan dan subsidi itu, kerajaan berdepan cabaran untuk menambah pendapatan bagi membolehkan bantuan berkenaan diteruskan di samping memastikan ekonomi negara terus berkembang.

"BR1M adalah contoh subsidi bersasar. Ini bukan pancing undi, kalau nak pancing kita buat sebelum pilihan raya umum tetapi kita buat (BR1M) setiap tahun. Ada atau tidak pilihan raya, selagi Barisan Nasional (BN) berkuasa, kita kurangkan subsidi pukal secara berperingkat-peringkat.

"Kita pindahkan dana itu melalui BR1M untuk rakyat," tambahnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment