Sunday, 23 February 2014

Yingluck terus terima tamparan

 * PENYOKONG pembangkang berbaris untuk membatalkan kontrak menggunakan kad sim dengan syarikat telefon AIS, Advanced Info Service PLC di Bangkok, semalam. - AFP
BANGKOK, SABTU, 22 Februari, 2014: Kerajaan sementara Thailand menerima tamparan terbaru apabila ramai penunjuk perasaan antikerajaan bertindak memulangkan kad sim telefon milik syarikat ahli keluarga Perdana Menteri sementara Yingluck Shinawatra.

Ketika ini penunjuk perasaan antikerajaan bertindak menghalang persimpangan utama di Bangkok dengan mendirikan khemah, selain meletakkan tayar dan beg pasir bagi mendesak Yingluck meletakkan jawatan.

Minggu ini, kumpulan penyokong pembangkang mensasarkan rangkaian perniagaan yang ada kaitan dengan keluarga Shinawatra, menyebabkan pasaran saham Thailand merudum.

Tindakan memulangkan atau membatalkan kontrak talian dengan syarikat telekomunikasi milik Shinawatra, Advanced Info Service Pcl (AIS) merupakan maklum balas terhadap gesaan ketua penunjuk perasaan, Suthep Thaugsuban.

Bagaimanapun, AIS melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada pelanggannya memaklumkan bahawa syarikat itu tidak lagi mempunyai kaitan dengan keluarga Perdana Menteri itu.

"AIS tidak terlibat dalam politik dan bukan saluran kewangan kepada mana-mana pihak.

"Thaksin dan keluarganya telah menjual kesemua saham mereka dalam syarikat ini sejak 23 Januari 2006 dan mereka tidak mempunyai kaitan dengan AIS lagi," jelas SMS tersebut.

Seorang daripada penunjuk perasaan, Aunjit Wongsampan, 65, berkata, dia mahu memulangkan kad sim syarikat itu atas alasan isyarat lemah.

"Saya mahu menukar kepada talian lain kerana syarikat tersebut terlalu kaya dan saya tidak percaya kepada SMS yang disebarkan oleh AIS," katanya.

Sementara itu, penyokong Yinglcuk mengutuk tindakan penunjuk perasaan mengganggu urusan perniagaan sehingga menjejaskan ekonomi negara, terutamanya dalam sektor pelancongan apabila jumlah pengunjung di Bangkok menurun mendadak. - REUTERS/UTUSAN 

No comments:

Post a Comment