![]() |
* KESAN melecur pada dahi dan bahu Tuan Zulashraf Tuan Yaakob selepas terkena percikan asid yang disimbah seorang lelaki di Kampung Banggol Pak Esah, Pasir Puteh, Kelantan, malam semalam. |
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 malam, mangsa, Emi Azman, 22, dikatakan pergi ke gerai yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya itu bersama jirannya, Tuan Zulashraf Tuan Yaakob, 14, untuk membeli burger.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mohd. Kamal Zainal berkata, ketika berada di atas motosikal di depan gerai itu, seorang lelaki yang dikenali mereka datang dengan sebuah motosikal dan menyimbah asid kepada mangsa.
Beliau berkata, rakan mangsa, Tuan Zulashraf, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jawa yang membonceng motosikal itu turut mengalami kecederaan ringan akibat terkena percikan asid itu.
"Emi mengalami kecederaan serius dan telah dibawa ke Hospital Tengku Anis (HTA) di sini sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk mendapatkan rawatan lanjut manakala Tuan Zulashraf hanya dirawat sebagai pesakit luar.
"Suspek datang seorang diri dengan membawa satu botol kaca warna gelap dan menyimbah cecair disyaki cuka getah ke arah mangsa. Percikan itu turut terkena pelajar yang berada di belakangnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd. Kamal berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian itu bermotifkan dendam yang berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dengan suspek.
Katanya, polis sudah mengenal pasti identiti suspek dan gerakan memburunya sedang dijalankan bagi menyelesaikan kes yang disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Tuan Zulashraf yang ditemui di sini berkata, pada mulanya, dia menyangka suspek ingin meminum air yang terdapat dalam botol tersebut ketika menghampiri mereka.
"Dia (suspek) seperti sedang membuka tudung botol minuman dengan gigi dan terus menyimbah cecair dari botol berkenaan ke arah muka dan badan Emi.
"Saya hanya menyedari apabila kulit dahi dan baju pada bahagian bahu berasap dan betis saya melecur dengan tiba-tiba. Kami terus melarikan diri tetapi dia mengejar kami," katanya.
Kata Tuan Zulashraf, dia melihat Emi menggelupur di atas jalan dengan mukanya yang melecur serta urat tangannya timbul selain baju pada badannya berasap.
"Kami terpaksa menggunakan air buangan di dapur penduduk setempat sebelum diberi bantuan membersihkan kesan asid menggunakan air bersih," katanya. - UTUSAN

No comments:
Post a Comment