My Add

Thursday, 27 March 2014

9 ditahan kes samun, pecah rumah dan curi
 * MOHD . Khamsani Abdul Rahman (kanan) menunjukkan kereta curi yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru, Utara, semalam.
JOHOR BAHRU, RABU, 26 Mac, 2014: Polis percaya menyelesaikan 13 kes samun, pecah rumah dan curi kenderaan di bandar raya ini berikutan penahanan sembilan suspek termasuk wanita dalam serbuan di beberapa lokasi pada Isnin dan Selasa lalu.

Serbuan yang dijalankan dalam Op Cantas Khas itu dilakukan di Taman Tampoi Utama, Kampung Pasir, Taman Perling, Taman Bukit Kempas dan Kolam Air.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd. Khamsani Abdul Rahman berkata, kesemua suspek yang berusia 18 hingga 44 tahun itu ditahan antara pukul 1 petang sehingga pukul 4 petang pada keesokannya.

"Dalam serbuan itu, polis merampas enam buah kenderaan iaitu sebuah kereta Proton Perdana, Jaguar (2), Honda Accord (1), Suzuki Swift (1) dan sebuah lori jenis Mitsubishi.

"Turut dirampas sebuah monitor, beberapa gugus kunci kenderaan, sekeping kad pengenalan milik orang lain dan sebuah kereta Proton Kancil dan Proton Tiara yang dipercayai digunakan suspek semasa melakukan jenayah itu," katanya di sini hari ini.

Ujar beliau, semakan jenayah lampau mendapati empat daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan dadah, curi kenderaan, pemerasan dan tipu.

Kata Mohd. Khamsani, kesemuanya direman sehingga 31 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan dan bersenjata.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Khamsani berkata, polis menahan tiga lelaki berusia 20 hingga 26 tahun serta merampas 12 buah mesin perjudian berkomputer dalam satu serbuan di sebuah premis di Taman Perling, di sini, Ahad lalu.

Menurutnya, turut dirampas dalam serbuan pukul 5.45 petang itu adalah enam buah meja, sebuah buku catatan pertaruhan, sebuah pencetak, sebuah telefon bimbit, satu peket lutsinar disyaki dadah, sebuah komputer riba dan 32 keping wang kertas berjumlah RM188.

"Mereka yang ditahan merupakan seorang juruwang kedai berkenaan dan dua orang pelanggan. Mereka ditahan mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment