Balingian: Muhyiddin ingatkan BN jangan terlalu yakin
MUKAH, KHAMIS, 27 Mac, 2014: Barisan Nasional (BN) yakin dengan keupayaannya untuk memperoleh kemenangan pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian Sabtu ini berdasarkan kepada sokongan padu pengundi kawasan berkenaan sejak sekian lama, di samping ketiadaan masalah dalaman parti, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bagaimanapun timbalan perdana menteri mengingatkan semua pihak dalam parti supaya tidak terlalu yakin hingga mengabaikan masa yang berbaki untuk tidak berusaha keras menarik sokongan mendapatkan majoriti kemenangan lebih besar.
Katanya jentera pilihan raya BN bergerak dengan begitu lancar untuk bersemuka dengan semua 13,366 pengundi DUN berkenaan, bagi memastikan mereka turun menunaikan tanggungjawab mengundi pada 29 Mac.
Timbalan pengerusi BN itu melihat tiada isu besar yang dibangkitkan pembangkang, melainkan isu-isu tempatan yang berkaitan dengan infrastruktur, pembinaan sekolah serta dewan; dan semua perkara itu sudah ditangani oleh pemimpin-pemimpin BN yang turun padang.
"Pembangkang sudah ketandusan modal, penerimaan orang ramai kepada mereka di sini sangat kecil, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang datang berkempen di sini dua hari lepas pun dilihat sudah kecewa dan bergegas pulang (pada hari yang sama) kerana tidak mendapat sokongan di tempat-tempat yang dilawatinya," katanya dalam sidang media selepas menghadiri program pelancaran Inap Desa Kampung Tanjung Pedada di Kampung Seberang di sini. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment