Friday, 28 March 2014

BN sudah lama ambil langkah kurangkan beban rakyat Sarawak - Muhyiddin

MUKAH, KHAMIS, 27 Mac, 2014: Barisan Nasional sejak awal lagi sudah melaksanakan langkah untuk mengurangkan beban rakyat di Sarawak dalam menghadapi kenaikan kos hidup sebelum pembangkang memainkan isu itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Balingian di sini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan lebih RM300 juta setahun sebagai subsidi untuk menyerapkan kos pengangkutan yang menjadi antara punca kenaikan harga barangan di kawasan luar bandar negeri ini dan di Sabah.

"Sarawak sebuah negeri yang besar, mengangkut barang-barang dari Kuching ke kawasan-kawasan lain (seperti) ke Mukah dan Balingian, ini memerlukan kos tambang yang agak tinggi. Oleh sebab itu untuk menentukan barang-barang keperluan di Sabah dan Sarawak ini dapat kita kurangkan, maka kerajaan memberikan subsidi lebih daripada RM300 juta," katanya.

Berucap melancarkan program inap desa di Kampung Seberang Mukah di sini hari ini, beliau berkata pembangkang yang telah ketandusan modal berkempen semasa PRK Balingian ini sudah mulai memainkan kembali isu kenaikan kos hidup dan menuduh BN sebagai kerajaan yang tidak bertanggungjawab dan tidak membantu rakyat.

"Nak menuduh kerajaan Barisan Nasional tidak bertanggungjawab dan menyebabkan kos hidup semakin tinggi, ini satu tuduhan melulu," katanya.- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment