Friday, 28 March 2014


Data ekonomi jadi tumpuan kerajaan


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
 
 AHMAD SHABERY CHEEK
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 27 Mac, 2014: Data ekonomi bakal menjadi satu sektor yang akan diberi tumpuan oleh kerajaan memandangkan wujudnya permintaan terhadap sumber data menjelang 2018.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, ledakan terhadap keperluan data dapat dilihat dalam siasatan yang dijalankan ke atas pesawat Malaysia Airlines MH370, yang telah disahkan terhempas di Lautan Hindi setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8 Mac lalu.

Malah, beliau menyifatkan tragedi tersebut bakal mengubah sektor penerbangan negara dan dunia khususnya memandangkan setiap siasatan yang dijalankan berlandaskan kepada jumlah data yang besar sama ada dari kapal terbang, satelit, stesen radar mahupun menara kawalan.

“Suatu ketika dahulu kita bercakap tentang ekonomi pengetahuan dan kemudiannya ekonomi digital. Saya yakin dalam sedikit masa lagi, orang akan bercakap tentang data ekonomi.

“Di sebalik tragedi yang menimpa penumpang dan krew MH370, kita dapat melihat berlakunya ledakan dari segi jumlah penggunaan data yang besar dan datang daripada pelbagai sumber," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian pelaburan majlis antara Telekom Malaysia (TM) dengan Green Packet Berhad dan SK Telecom Co. Ltd. bagi membangunkan perkhidmatan komunikasi bersepadu generasi akan datang Malaysia di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi; Pengerusi TM, Datuk Seri Dr. Halim Shafie; Pengerusi Green Packet, Tan Sri Omar Abdul Rahman dan Naib Presiden Eksekutif; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Tan Sri Zamzamzairani Mohd. Isa dan Ketua Pegawai Pertumbuhan SK Telecom, Jung Ho Park.

Sehubungan itu, menurut Ahmad Shabery, penggunaan data yang besar menjadi satu sumber strategik dan ia dilihat memberi banyak kelebihan kepada pelbagai industri.

“Contohnya, kerajaan boleh mengguna pakai kelebihan tersebut untuk meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan. Polisi data terbuka pula berupaya meningkatkan inovasi dalam industri dan rakyat akan mendapat manfaatnya," katanya.

Beliau berkata, kerajaan dari semasa ke semasa akan memastikan perkhidmatan telekomunikasi yang berkualiti terutama meningkatkan kelajuan dan perluasan jalur lebar untuk semua rakyat Malaysia termasuk di kawasan pedalaman.

“Kadar penebusan bagi mudah alih kini mencecah 140 peratus manakala penggunaan jalur lebar kini telah berada di lebih 70 peratus isi rumah di seluruh negara," ujar beliau. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment