My Add

Thursday, 27 March 2014

KDNK 5.5 peratus yakin boleh dicapai

Oleh NUR HANANI AZMAN

KUALA LUMPUR, RABU, 26 Mac, 2014: Kementerian Kewangan yakin sasaran bagi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 5 hingga 5.5 peratus bagi tahun ini boleh dicapai berikutan pengukuhan penggunaan swasta didorong pelaburan sektor swasta yang teguh.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah berkata, pelaburan swasta dari 2010 hingga 2013 naik 3.5 kali ganda dan pada suku keempat tahun lalu turut menyaksikan peningkatan kepada 16.5 peratus berbanding 15.2 peratus pada suku sebelumnya.

Beliau dalam pada itu turut mengingatkan bahawa terdapat beberapa projek mengambil masa beberapa tahun untuk siap sepenuhnya yang memberi maksud pelaburan akan terus kukuh.

Katanya, walaupun pertumbuhan ekonomi pada tahun lepas tidak sekuat 2012, tetapi kekal naik kepada 4.3 peratus mendorong kerajaan berasa optimis bahawa sasaran pada tahun ini adalah relevan untuk dikecapi.

“Selain itu, faktor perbelanjaan kerajaan yang didorong oleh penggunaan Bajet Berasaskan Prestasi (OBB) juga merupakan antara usaha kerajaan secara berterusan melakukan pengurusan kewangan dengan lebih efisien.

“Sebagai permulaan, OBB akan diguna pakai oleh tiga kementerian iaitu Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) seterusnya meningkat kepada lima kementerian pada 2015," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Penilaian Antarabangsa Persatuan Penilaian Malaysia (MES).

Ahmad Husni berkata, lima kementerian berkenaan akan dikenal pasti pada pertengahan 2014 dan menjelang akhir 2016, semua kementerian akan terlibat dalam mengguna pakai OBB.

Beliau berkata, OBB adalah inisiatif yang bertujuan menambah baik bajet kerajaan dalam memastikan dana dapat dibelanjakan sebaiknya.

“Kerajaan juga baru-baru ini melancarkan portal Myresults bagi memudahkan proses penilaian penggunaan OBB di samping memastikan usaha dibangunkannya akan menjadi teguh," katanya.

Tambahnya, prospek Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi 2014 turut meramalkan pertumbuhan ekonomi lebih mapan berbanding tahun lalu. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment