Monday, 24 March 2014

Moscow henti bantahan hantar pemantau ke Ukraine

BRUSSELs, SABTU, 22 Mac, 2014: Moscow semalam menghentikan bantahan terhadap penghantaran misi pemantau antarabangsa ke Ukraine, dalam tindakan yang dilihat bertujuan mengurangkan ketegangan di rantau tersebut.

Sebanyak 57 negara anggota Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE) ketika bermesyuarat di Vienna bersetuju menghantar sehingga 500 anggota pemantau ke Ukraine bagi memantau situasi keselamatan, terutama di wilayah yang majoriti dihuni penduduk etnik Rusia.

Keputusan itu dibuat beberapa jam selepas Presiden Rusia, Vladimir Putin merasmikan penyertaan Crimea ke dalam Rusia dan Kesatuan Eropah (EU) mengenakan sekatan baharu ke atas Moscow.

Putin menandatangani satu perjanjian semalam yang menyaksikan penubuhan dua entiti baharu iaitu Republik Crimea dan bandar Sevastapol.

Utusan Rusia ke OSCE, Audrey Kelin berkata, pihaknya merasakan tindakan itu merupakan usaha pertama dan penting bagi mengurangkan ketegangan di kawasan berkenaan.

‘‘Tindakan ini bukan penamat kepada krisis ini, namun langkah yang akan membantu usaha mengurangkan ketegangan," kata Menteri Luar Jerman, Frank-Walter Steinmeier.

Bagaimanapun, timbul perbezaan pendapat mengenai skop geografi mandat misi OSCE yang tidak menyebut Crimea, namun menyatakan pemantau boleh dikerahkan ke seluruh negara itu.

Utusan Amerika Syarikat (AS) ke OSCE, Daniel Baer berkata, mandat itu termasuk Crimea, manakala Kelin menafikannya.

Kelin berkata, Crimea sudah menjadi sebahagian daripada Rusia. - DPA/UTUSAN 

No comments:

Post a Comment