Muhyiddin hadiri Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear
AMSTERDAM, ISNIN, 24 Mac, 2014: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di sini malam tadi untuk lawatan kerja dua hari sempena Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear 2014 yang berlangsung di The Hague dekat sini, bermula hari ini.
Ketibaan Timbalan Perdana Menteri bersama isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman disambut Duta Besar Malaysia ke Belanda, Datuk Dr. Fauziah Mohd. Taib.
Sepanjang NSS 2014, Timbalan Perdana Menteri akan terbabit dalam beberapa perbincangan sidang pleno dan menyampaikan ucapan pada hari kedua sidang kemuncak berkenaan.
Selain itu Timbalan Perdana Menteri akan menghadiri majlis makan malam kerja yang dihoskan Raja Belanda, Willem-Alexander dan mengadakan perbincangan dua hala bersama Ratu Belanda, Maxima Zorreguieta Cerutti.
Perbincangan dua hala atas permintaan Ratu Maxima itu dijangka berkisar tentang pengalaman Malaysia dalam mengurus skim mikro kredit bagi membantu golongan miskin meningkatkan pendapatan dan taraf hidup.
Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan bersama pelajar-pelajar Malaysia di Belanda.
NSS pertama kali diadakan pada 2010 di Washington, Amerika Syarikat bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pemimpin dunia terhadap kepentingan memastikan bahan-bahan berkaitan nuklear selamat bagi mengelak ia digunakan untuk tujuan keganasan.
NSS kedua diadakan di Seoul, Korea Selatan pada 2012 memfokuskan gerakan melaksanakan pelan-pelan kerja yang dipersetujui di Washington. NSS 2014 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Forum Dunia di The Hague dekat sini akan memfokus kepada hasil yang diperoleh sepanjang tempoh dua tahun dan merancang pelan masa depan.
Seramai 53 ketua-ketua negara termasuk Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama dan 5,000 delegasi menghadiri sidang kemuncak selama dua hari itu.
Sidang itu juga menjadi tumpuan kerana ia dijangka menjadi medan kepada pemimpin dunia membincangkan krisis yang sedang berlaku di Crimea apabila tentera Rusia dilaporkan mula menguasai beberapa kawasan dan pangkalan tentera di wilayah milik Ukraine itu. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment