My Add

Friday, 28 March 2014

Pegawai polis didakwa rasuah RM10,000

SHAH ALAM, KHAMIS, 27 Mac, 2014: Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memperoleh rasuah RM10,000 sebagai dorongan melepaskan seorang lelaki warga Bangladesh yang ditahan Jabatan Imigresen, dua minggu lalu.

Raja Mohamad Izuddin Raja Kamarulzaman, 30, yang bertugas sebagai pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, didakwa menerima suapan wang itu daripada Md. Harun Ur Rashid, 42, warga Bangladesh yang mempunyai taraf penduduk tetap di negara ini, bertujuan melepaskan rakannya, Nazrul Islam, 38, daripada tindakan pengusiran oleh jabatan terbabit.

Tertuduh yang telah lapan tahun berkhidmat sebagai anggota polis didakwa melakukan kesalahan itu di tingkat 2, Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Serdang, dekat sini, kira-kira pukul 8.45 malam, 14 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lokman Kassim yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Peguam, Ridha Abdah Subri yang mewakili tertuduh pula memohon jaminan RM5,000 dengan alasan anak guamnya menghadapi kekangan kewangan selain menanggung ibu bapa yang uzur dan tiga adik yang masih bersekolah.

Hakim Slamat Yahya kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 April ini untuk sebutan semula kes. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment