Thursday, 27 March 2014

Peralihan deposit Islam tingkat pendapatan bank

KUALA LUMPUR, RABU, 26 Mac, 2014: Peralihan pengkelasan semula akaun deposit dan akaun pelaburan Islam di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSA) 2013 dijangka memberi lebih pendapatan dan memperbaiki imbangan tunai kepada institusi perbankan Islam di negara ini.

Malah, peralihan itu akan menawarkan lebih banyak produk baharu yang lebih jelas dan sofistikated kepada para pelanggan.

Presiden Persatuan Perbankan Islam Malaysia (AIBIM), Datuk Mohd. Redza Shah Abdul Wahid berkata, pelaksanaan peralihan itu dijangka mewujudkan aktiviti-aktiviti baharu kepada bank-bank Islam berbanding sebelum ini.

Katanya, pada waktu ini, tumpuan akan diberikan kepada peralihan akaun deposit Islam manakala peralihan akaun pelaburan Islam pula dijangka dilaksanakan secara aktif pada tahun depan.

Beliau berkata, menerusi pengkelasan semula deposit dan pelaburan Islam ini, butir-butir transaksi deposit adalah lebih jelas, terperinci dan tidak bercampur.

“Peralihan baharu ini akan memperlihatkan akaun deposit Islam akan dijamin secara prinsipal manakala akaun pelaburan Islam adalah di dalam kategori bukan prinsipal," katanyapada sesi taklimat mengenai peralihan deposit Islam di bawah IFSA 2013 di sini semalam.

Yang turut hadir pada sesi taklimat itu ialah Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Bhd., Badlisyah Abdul Ghani dan Pemangku Pengarah Eksekutif AIBIM, Addelan Jusop.

Peralihan pengkelasan semula akaun deposit dan pelaburan Islam ini telah bermula pada tahun lalu dan dijangka siap pelaksanaannya pada Jun 2015.

AIBIM setakat ini mempunyai 26 ahli dengan 16 daripadanya adalah bank-bank komersial, tiga buah institusi pembangunan kewangan (DFI) dan bakinya, bank asing.

Sementara itu, Badlisyah berkata, Malaysia merupakan negara pertama yang menjalankan peralihan pengkelasan semula bagi akaun deposit dan akaun pelaburan Islam.

Katanya, pelaksanaan peralihan itu akan dapat mengukuhkan sistem perbankan Islam di negara ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment