PRK Kajang: BN tawar wakil rakyat terbaik
Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
KUALA LUMPUR, SABTU, 22 Mac, 2014: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan Barisan Nasional (BN) bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang ialah untuk menawarkan seorang wakil rakyat yang mampu memberikan khidmat terbaik kepada penduduk di kawasan tersebut.
Timbalan Perdana Menteri menegaskan, BN meletakkan Datin Paduka Chew Mei Fun sebagai calon bukan kerana beliau berhasrat untuk menjadi Menteri Besar Selangor atau berdasarkan latar belakang kaum.
Tetapi jelasnya, Mei Fun memiliki rekod cemerlang dalam memberikan khidmat terbaik kepada rakyat di samping mempunyai integriti yang tinggi.
"Saya yakin, jika pengundi Kajang memberi peluang kepadanya (Mei Fun) untuk menjadi wakil rakyat mereka, beliau akan mampu melakukan yang terbaik untuk penduduk Kajang.
"Sebagai pengundi yang bijaksana, amat wajar memilih pemimpin yang komited untuk berkhidmat kepada rakyat, sekali gus menyatakan pendirian menolak pemimpin yang mengetepikan kepentingan rakyat demi kepentingan politik peribadi semata-mata," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN memberitahu, PRK bagi DUN Kajang diadakan setelah wakil rakyat kawasan itu dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletak jawatan untuk memberi peluang kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi tersebut.
Ujarnya, tindakan yang pada mulanya disebut `Kajang Move ini dikatakan penting untuk membolehkan Ketua Pembangkang itu menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan seterusnya dilantik Menteri Besar.
"Namun, oleh kerana beliau (Anwar) tidak layak bertanding disebabkan keputusan Mahkamah Rayuan, PKR telah meletakkan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon.
"Dengan itu, strategi 'Kajang Move' telah gagal. Kita sedia maklum bahawa PRK itu diadakan semata-mata kerana wujudnya pergolakan politik di dalam PKR," katanya.
Jelas beliau, 'Kajang Move' dicipta oleh pihak-pihak tertentu di dalam PKR untuk membolehkan Anwar menjadi Menteri Besar dan menyelamatkan PKR daripada kemelut politik yang melanda.
Ringkasnya kata Muhyiddin, PRK DUN Kajang memperlihatkan bagaimana para pemimpin PKR meletakkan kepentingan politik mereka mengatasi kepentingan rakyat.
"Saya tidak fikir para pemimpin PKR memikirkan kepentingan pengundi Kajang apabila mereka memutuskan wakil rakyat DUN Kajang dari parti mereka perlu mengosongkan kerusinya bagi membolehkan satu pilihan raya kecil diadakan," tambahnya. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment