PRK Kajang: Jumlah keluar menurun kepada 72 peratus
Oleh KHAIRULANUAR YAHAYA
BANGI, AHAD, 23 Mac, 2014: Sebanyak 28,314 atau 72 peratus daripada 39,278 pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang telah keluar mengundi sebaik sahaja 16 pusat pengundian itu dibuka sejak 8 pagi sehingga ditutup pada pukul 5 petang ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, jumlah tersebut dilihat merosot 16 peratus berbanding ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), dengan jumlah peratusan keluar mengundi adalah 87.9 peratus daripada jumlah keseluruhan 39,728 pengundi.
Katanya, jumlah peratusan keluar itu tidak menepati sasaran yang dijangka oleh SPR iaitu sebanyak 80 peratus.
"Sehubungan itu, SPR akan membuat kajian mengenai jumlah peratusan yang menurut dan dilihat paling rendah berbanding PRK di Kedah (DUN Sungai Limau) dan Terengganu (DUN Kuala Besut)," katanya pada sidang akhbar di Pusat Penjumlahan dan Pengumuman Keputusan PRK DUN Kajang di Stadium Majlis Perbandaran Kajang di sini hari ini.
Abdul Aziz berkata, keputusan DUN Kajang paling awal mungkin akan dapat diketahui pada pukul 8 malam.
PRK DUN Kajang menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN), Datin Paduka Chew Mei Fun dengan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Pada PRU-13 lalu, calon PKR, Lee Chin Cheh yang memperoleh 19,571 undi dan menang dengan majoriti sebanyak 6,824.
Calon BN, Lee Ban Seng menerima 12,747 undi, sementara Mohamad Ismail (Berjasa) 1,014 undi dan tiga calon Bebas lain mendapat kurang daripada 250 undi. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment