My Add

Sunday, 23 March 2014

PRK Kajang: Pakatan hanya harapan palsu - Ruslan Kassim

Oleh KAMIL MASLIH

KUALA LUMPUR, SABTU, 22 Mac, 2014: Pakatan pembangkang hanya mampu memberi harapan palsu kerana tidak mempunyai pengalaman mahupun kepakaran untuk menguruskan Malaysia yang sedia kompleks.

Bekas Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ruslan Kassim berkata, rakyat sewajarnya dapat menilai sendiri pentadbiran kucar-kacir oleh pakatan pembangkang di negeri-negeri yang dikuasainya.

Katanya, kegagalan kerajaan PKR negeri Selangor menguruskan masalah air adalah antara contoh kelemahan itu sehingga mengakibatkan negeri itu mengalami krisis air serta kehilangan ratus pelabur luar.

"Pakatan pembangkang tidak sepakat mana pun, mereka cuma berkongsi musuh yang sama iaitu Barisan Nasional (BN) tetapi hakikatnya PKR, DAP dan Pas juga berebut kuasa sesama sendiri.

"Tidak hanya di kalangan parti pakatan, di dalam sesebuah parti itu sendiri seperti PKR juga tidak habis-habis dengan masalah dalam sehingga berlaku perselisihan antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Pengerusi PKR Selangor, Azmin Ali," katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengalaman pakatan pembangkang termasuk Ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terlalu sedikit merupakan satu risiko besar untuk diberikan kepercayaan memimpin negara kompleks seperti Malaysia.

Menurut Muhyiddin, perkara itu berbeza dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sudah melalui pelbagai jatuh bangun dalam menguruskan negara sejak merdeka termasuk kejayaan membebaskan Malaysia daripada krisis ekonomi.

Dalam pada itu, menurut bekas Exco PKR, Azwandin Hamzah, pakatan pembangkang bukan sahaja tidak mempunyai pengalaman yang mencukupi malah tidak mempunyai semangat perpaduan sesama mereka.

"Pengalaman BN menguruskan Malaysia yang rakyatnya majmuk adalah pengalaman yang amat berharga dan diperlukan untuk memajukan negara kita ini.

"Kalau kita lihat pembangkang, mereka bukannya ke arah perpaduan sebaliknya mahu mencari keuntungan di sebalik perpecahan dan perbalahan masyarakat," katanya.

Katanya, pakatan pembangkang juga tidak menitik beratkan kepentingan masyarakat sebaliknya lebih menumpukan kepentingan peribadi pemimpin seperti Anwar. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment