Thursday, 27 March 2014

RM1 juta lesap dua minit

Oleh NORHIDAYU MOHD. HASSAN

 * BEBERAPA anggota forensik polis memeriksa dan mencari bukti di sebuah kedai emas di Jalan Sentul, semalam. - utusan/ NOOR AZLINA JAAFAR
BEBERAPA anggota forensik polis memeriksa dan mencari bukti di sebuah kedai emas di Jalan Sentul, semalam. - utusan/ NOOR AZLINA JAAFAR

KUALA LUMPUR, RABU, 26 Mac, 2014: Empat suspek bertopeng, bersenjata dua pucuk pistol mengambil masa dua minit untuk melarikan beberapa dulang barang kemas dalam rompakan di sebuah kedai emas di Jalan Sentul, di sini hari ini.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 11.20 pagi itu, suspek berjaya melarikan enam dulang barang kemas yang dianggarkan bernilai hampir RM 1juta.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, ketika kejadian, terdapat lapan pekerja di dalam kedai berkenaan.

Jelasnya, siasatan awal pihaknya mendapati tiga suspek secara tiba-tiba meluru masuk ke dalam kedai emas berkenaan sementara seorang lagi menunggu di kereta.

"Mereka bertopeng, bersarung tangan serta bersenjatakan pistol. Dua daripadanya mengacukan senjata api serta mengarahkan pekerja kedai mengeluarkan dulang emas dan memasukkannya ke dalam karung.

Mereka melarikan diri dengan sebuah kereta Proton Waja. Sebelum itu salah seorang suspek melepaskan satu das tembakan ke udara," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Zakaria, kesemua pekerja dilaporkan selamat dan tidak dicederakan.

"Polis sedang berusaha mengenal pasti suspek berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai berkenaan," katanya yang memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan dan menggunakan senjata. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment